Berita Luar Negara

Baru semusim di Barcelona, Paulinho balik ke Guangzhou Evergrande

Pelik tapi benar. Paulinho yang baharu sahaja berpindah ke Barcelona tahun lalu kembali ke pangkuan kelab lamanya, Guangzhou Evergrande secara pinjaman bagi musim ini.

Menurut satu kenyataan rasmi, Barcelona mencapai persetujuan untuk meminjamkan Paulinho kepada Guangzhou selama setahun dan mempunyai pilihan untuk mendatangani kontrak sepenuh masa selepas tamat tempoh pinjaman tersebut.

“FC Barcelona dan Guangzhou Evergrande mencapai kata sepakat bagi pinjaman perpindahan Paulinho Bezerra selama satu musim dengan pilihan pembelian wajib bagi kelab China itu,” kata Barca menerusi satu kenyataan dalam laman webnya.

Paulinho, 29, menjaringkan sembilan gol dalam 49 penampilannya bersama kelab Catalan selepas berpindah ke Sepanyol dengan nilai perpindahan berjumlah 40 juta euro pada Ogos tahun lalu, sekali gus membantu Barcelona menjuarai La Liga dan juga Piala Raja Sepanyol.

Pihak Guangzhou Evergrande juga mengesahkan perpindahan tersebut dan keputusan itu dibuat setelah Brazil tersingkir ketika menentang Belgium di peringkat suku akhir Piala Dunia baru-baru ini.

“Guangzhou Evergrande mengesahkan Paulinho kembali ke kelab selepas semusim di Barcelona,” kata kelab itu menerusi akaun Twitter rasminya.

Paulinho, 29, menyertai Guangzhou dari Tottenham Hotspur pada 2015 dan sejak itu beliau beraksi sebanyak 84 kali dan menjaringkan 22 gol untuk pasukan Liga Super China.

Hasil daripada prestasi memberangsangkan, beliau kemudiannya berpindah ke Barcelona dan menjadi antara pemain terpenting selepas ketiadaan pemain tengah berkaliber seperti Xavi.

Perpindahannya ke Barcelona juga sedikit sebanyak menjadi penyebab mengapa beliau dipilih oleh Tite untuk menganggotai barisan pasukan kebangsaan Brazil bagi menebus maruah yang tercalar sebelum ini.

Paulinho menjaringkan gol untuk Brazil ketika menang 2-0 ke atas Serbia namun tetap tidak dapat menghalang daripada tersingkir dari Piala Dunia untuk empat kali berturut-turut sejak edisi Piala Dunia 2006. – Reuters