Berita AFC Champions League

Penggantungan Pahang adalah keputusan FAM bukan AFC, kata Kevin Ramalingam

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Kevin Ramalingam mengesahkan bahawa penggantungan Pahang selama dua tahun daripada menyertai Liga Juara-Juara Asia mahupun Piala AFC hanyalah satu larangan permohonan lesen daripada pihak FAM dan bukan daripada pihak AFC sendiri.

Kejayaan Pahang menjuarai Piala FA menewaskan Selangor 2-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil mencetuskan semula perdebatan dalam kalangan peminat sama ada hukuman yang dikenakan ke atas Pahang benar-benar adil atau tidak.

Ini memandangkan Kedah selaku juara Piala FA musim lalu yang sepatutnya beraksi di Piala AFC musim ini juga tidak layak bertanding kerana gagal mendapatkan lesen AFC dan ada yang berpendapat mereka seharusnya dikenakan dengan hukuman yang sama.

Namun, Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) boleh mengemukakan rayuan kepada FAM supaya mempertimbangkan keputusan tersebut sekiranya mereka berminat untuk beraksi di Liga Juara-Juara Asia musim depan.

“Melihat kepada situasi, ini adalah larangan dari FAM jadi mungkin ia bergantung kepada budi bicara mereka. FAM sahaja yang boleh membuat keputusan jika mereka mahu memberi pelepasan atau alternatif yang dirasakan wajar dan sesuai.

“Sekiranya Pahang tidak diberikan kebenaran untuk bertanding, slot kedua itu secara automatik akan diberikan kepada naib juara Liga Super musim ini.

“Keputusan ini sama seperti apabila slot ke Piala AFC musim ini yang sepatutnya diberikan kepada juara Piala FA musim lalu iaitu Kedah akhirnya ditawarkan kepada Pahang yang muncul sebagai naib juara liga musim 2017,” katanya kepada Berita Harian.

Selaku juara Piala FA, Pahang memperoleh satu slot ke Liga Juara-Juara Asia apabila akan beraksi di pusingan kedua kelayakan selepas Malaysia mendapat slot 1+1 daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bagi musim 2019 dan 2020.

Namun hujung tahun lalu, Pahang dikenakan tindakan iaitu tidak dibenarkan memohon lesen AFC selama dua tahun daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas PBNP membuat keputusan untuk menarik diri dari mewakili negara ke saingan Piala AFC musim ini.

Disebabkan itu, Pahang didapati melanggar Artikel 14 Statut FAM kerana ingkar arahan badan induk itu selepas enggan atau gagal mendaftarkan pasukan ke pertandingan AFC musim depan.

Larangan itu membabitkan permohonan tahun 2018 dan 2019 sekali gus menyaksikan skuad bimbingan Dollah Salleh tidak akan dapat beraksi di Liga Juara-Juara Asia bagi musim 2019 dan 2020.