Malaysia Berita

Pemain kebangsaan perlu buktikan mereka masih layak dipanggil Tan Cheng Hoe

Barisan pemain kebangsaan perlu membuktikan mereka masih layak dipanggil oleh jurulatih Tan Cheng Hoe, dan berhak beraksi dalam kesebelasan utama pasukan negara untuk pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Selepas kali terakhir beraksi dengan skuad negara pada November tahun lalu, pertahanan negara Shahrul Saad mengakui pemain perlu menunjukkan aksi yang baik dalam Liga Super, jika dibenarkan untuk bersaing semula nanti.

“Semuanya terpulang kepada Cheng Hoe untuk memilih pemain terbaik dalam pasukan bagi menyarung jersi kebangsaan kerana sudah pasti beliau inginkan yang terbaik untuk pasukan apatah lagi dalam situasi yang sukar ketika ini,” katanya.

“Kali terakhir tahun lepas pada November, saya masih terpilih, tetapi tahun ini kita tidak tahu lagi macam mana dan saya tidak boleh terlalu selesa kerana semua pemain sudah lama tidak beraksi dalam perlawanan kompetitif.

“Sebab itulah, saya perlu pastikan tujuh perlawanan liga ini nanti akan menjadi penentu terbaik untuk saya tetap menjadi pilihan dalam skuad negara.”

Seorang lagi tonggak pertahanan negara, Aidil Zafuan Abd Radzak menganggap jadual liga yang disingkatkan kepada dua bulan sahaja perlu digunakan sebaiknya buat semua pemain kebangsaan untuk mempamerkan prestasi terbaik.

“Liga Malaysia memang akan membantu skuad kebangsaan untuk pasukan mendapatkan momentum terbaik selain kesan yang kami akan terima seandainya liga tidak dapat diteruskan.

“Apabila saya tengok pelbagai usaha yang telah dilakukan oleh ramai pihak termasuk MFL untuk teruskan juga liga, ia satu usaha yang bagus terutamanya sebagai pemain yang semestinya ingin terus beraksi.

“Tempoh persediaan tidak dinafikan memang singkat, tetapi kalau ditakdirkan memang itu sahaja masa yang ada, kita harus fikirkan cara terbaik untuk memastikan persiapan pasukan tetap di tahap terbaik.”

CIMB Liga Super dan Liga Premier kembali beraksi pada 1 September dan berakhir pada 27 September, tertakluk kepada kelulusan kerajaan.

Skuad kebangsaan pula berancang untuk mengadakan perlawanan persahabatan pada 3 Oktober sebelum bertemu Emiriah Arab Bersatu ( UAE) pada 8 Oktober di Dubai dan Vietnam pada 13 Oktober di Kuala Lumpur.