Piala Dunia 2018 Luar Negara

Previu England di Piala Dunia 2018: Masa untuk mencetus kebangkitan Three Lions

England sering menyifatkan diri mereka sebagai negara yang memiliki kualiti bola sepak terbaik. Harus diakui bahawa Liga Perdana Inggeris merupakan salah satu liga terbaik di dunia. Namun, prestasi skuad kebangsaan mereka tidak sepadan dengan kehebatan liga.

Prestasi terbaik The Three Lions di peringkat antarabangsa dilihat 52 tahun lalu sewaktu menjuarai Piala Dunia 1966 di laman sendiri. Sejak itu, mereka sering diberi merudum tidak kira Piala Dunia atau Piala Eropah. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini,  mereka sering terkandas di peringkat suku akhir. Malah, dalam dua kejohanan besar yang terakhir, mereka amat mengecewakan.

Enpat tahun lalu di Brazil, mereka tidak dapat melepasi peringkat kumpulan manakala di Perancis pada 2016, mereka terkandas di pusingan kedua selepas dikecewakan oleh Iceland, negara kecil yang tampil buat kali pertama di pentas besar.

Sudah pasti pasukan yang dibimbing Gareth Southgate ketika ini menyimpan harapan untuk mengharumkan nama negaranya. Mereka akan berusaha keras untuk tidak kecewa lagi.

Barisan pemain

Southgate telah memilih 23 nama yang akan menguatkan pasukannya di Piala Dunia 2018. Berbekalkan pemain senior seperti Harry Kane, Kyle Walker, Jordan Henderson, dan Gary Cahill, pelatih berusia 47 tahun itu memanggil enam pemain B-23, iaitu Ruben Loftus-Cheek (22), Marcus Rashford (20), Dele Alli (22), Raheem Sterling (23), John Stones (23), dan Trent Alexander-Arnold (19). Kewujudan pemain-pemain muda ini juga membuatkan skuad England kali ini hadir dengan purata usia ketiga termuda dalam sejarah The Three Lions di Piala Dunia.

Dalam masa sama, dia mengabaikan beberapa pemain senior seperti Joe Hart, Jack Wilshere, dan Adam Lallana. Prestasi Hart di peringkat kelab semestinya menjadi alasan utama mengapa Southgate tidak memanggilnya tetapi ketiadaan Wilshere dan Lallana dianggap merencatkan kreativiti pasukan.

Kekuatan

Suka atah tidak, kekuatan England ketika ini terletak pada pengurusnya. Southgate berjaya menjadikan apa yang ada kepada satu pasukan yang baik. Ketika aksi kelayakan, England mengharungi 10 perlawanan tanpa kalah, mencatat 18 gol dan tiga bolos.

Prestasi mereka dalam aksi pemanas badan juga dilihat cukup memuaskan. Mereka tidak dibolosi dalam permainan ketika berdepan Brazil, Jerman, Itali dan Belanda sehingga mencapai tempoh 627 minit sebelum akhirnya Nigeria menamatkan rekod cemerlang itu. Walaupun permainan England tidak begitu menarik, Southgate mendapat keputusan melalui caranya yang berkesan.

Kelemahan

Walaupun Southgate berjaya mencipta sesuatu yang menakjubkan sehingga hari ini, masih ada beberapa perkara yang boleh dimanfaatkan oleh lawan mereka di Piala Dunia nanti. Pertama, mereka terlalu bergantung kepada Harry Kane untuk menyumbat gol. Penyerang Tottenham Hotspur itu sememangnya menjadi salah satu penggempur terbaik di dunia ketika ini. Namun, jika lawan mampu menyekat Kane, maka sukar untuk England melangkah jauh.

Contoh terbaik adalah ketika Piala Eropah 2016, dimana England bergelut untuk melepasi peringkat kumpulan yang turut dibarisi Wales, Slovakia dan russia sebelum akhirnya tunduk di tangan Iceland. Dalam empat aksi, The Three Lions hanya menyumbat tiga gol dan Kane langsung tidak mencatat nama walaupun sekali.

England juga harus mencari jalan untuk menundukkan pasukan besar. Ya, mereka telah menyekat Jerman, Brazil dan Itali dalam aksi persahabatan tetapi di Piala Dunia, keputusan seri jelas belum cukup.Southgate harus menetapkan mental anak buahnya, lebih-lebih lagi apabila aksi diheret ke penentuan penalti, badi utama England dalam beberala kejohanan terakhir.

Kane sudah menjelma menjadi salah satu penyerang

Pemain utama: Harry Kane

Kane baru saja dinamakan oleh Southgate sebagai kapten England untuk Piala Dunia nanti. Semestinya Kane merupakan antara pemain berkelas dunia dalam skuad England ketika ini selain Raheem Sterling. Peledak berusia 24 tahun ini menjadi penjaring terbanyak England ketika kelayakan dengan lima gol. Berbekalkan kemampuan meledakkan gol yang dimiliki, kepantasan serta kebolehan menggelecek dan kebijaksanaan dalam permainan menjadikan Kane harus diawasi oleh lawan England nanti.

Tahap terlalu berharap oleh England terhadap Kane juga dianggap berlebihan, seperti yang dinyatakan sebelum ini. Namun, jika Kane mampu mengawal prestasinya di Russia, England mungkin mampu melangkah jauh.

Jangkaan formasi

Eksperimen Southgate dengan coram 3-5-2 terbukti berkesan setakat ini, tidak kira ketika pusingan kelayakan atau persahabatan. Jordan Pickford akan menjadi pilihan utama di posisi penjaga gol berbekalkan kemampuan yang bagus dan dia akan dilindungi oleh Kyle Walker, John Stones, dan Gary Cahill sebagai tiga bek di depannya. Walker akan menduduki posisi bek tengah kanan, sementara Stones dan Cahill memiliki kemungkinan untuk dirotasi oleh Harry Maguire, Phil Jones, atau Eric Dier.

Posisi sayap kanan akan digalas oleh Kieran Trippier yang mungkin akan bertukar dengan Trent Alexander-Arnold, sementara di sisi yang berlawanan, Danny Rose akan menjadi pilihan utama. Dier dan Jordan Henderson akan menjadi pemain tengah bertahan sambil  Dele Alli akan bertindak di jentera tengah menyerang dan mungkin akan bergilir dengan Jesse Lingard.

Dua slot penyerang di depan tampak akan menjadi milik Kane dan Sterling. Jamie Vardy dan Danny Welbeck dilihat mampu menjadi pilihan yang menarik dari bangku simpanan.

Peluang di Piala Dunia

Diundi bersama Belgium, Tunisia, dan Panama dalam Kumpulan G, England sepatutnya tidak berdepan masalah untuk melangkah ke pusingan kedua bersama Belgium walaupun mungkin ada berlaku kejutan. Berbekalkan skuad ketika ini, mereka dilihat mampu untuk ke suku akhir, asalkan tidak diundi bertemu pasukan gergasi ketika aksi 16 terbaik seperti Jerman, Brazil, atau Sepanyol.