Malaysia Liga Super Malaysia

Mario Lemos yakin Negeri Sembilan ada peluang kekal di Liga Super

Misi hidup mati bagi Negeri Sembilan.

Selepas kembali ke Liga Super musim ini, nampaknya skuad Jang berdepan kemungkinan untuk turun kembali ke Liga Premier selepas hanya semusim di liga utama.

Selepas kekalahan 0-2 kepada Perak di Stadium Ipoh, kekalahan kesembilan mereka daripada 15 perlawanan musim ini, misi Negeri Sembilan untuk kekal semakin sukar.

Namun, ketua jurulatih Negeri Sembilan, Mario Lemos nampaknya masih belum mahu menyerah kalah.

“Masih ada tujuh perlawanan untuk diharungi bagi menyelamatkan pasukan.

“Dengan kehadiran semula beberapa tenaga utama pasukan selepas ini saya berharap kami mampu mengutip sebanyak mata yang boleh,” kata Lemos yang dipetik daripada laporan Berita Harian.

Daripada tujuh perlawanan itu, empat daripadanya mereka akan beraksi di gelanggang sendiri, Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. Mereka akan menanti kunjungan Pahang, PKNP, Selangor dan Melaka United. Jika Negeri Sembilan mahu kekal di Liga Super, mereka perlu menewaskan PKNP, Selangor dan Melaka United yang berada di kedudukan berdekatan mereka, terutamanya Melaka United.

Mereka juga akan berkunjung ke Kuala Terengganu, Shah Alam dan Cheras untuk berdepan Terengganu, PKNS dan Kuala Lumpur dalam baki tiga perlawanan lagi.

Dua perlawanan terakhir Negeri Sembilan juga akan menentukan kedudukan mereka, iaitu perlawanan bertemu Kuala Lumpur dan Melaka United. Dengan kekalahan kepada Perak, Negeri Sembilan kini lima mata di belakang Melaka United, Selangor dan PKNP.

Mampukah Negeri Sembilan membuat pecutan saat terakhir untuk terus kekal di Liga Super? Atau perlukah mereka menerima hakikat bakal kembali ke Liga Premier pada musim depan?