Malaysia Berita

Raya cuti sehari sahaja, ini reaksi Shahrom Kalam

Kapten Felcra FC, Shahrom Kalam terpaksa mengorbankan sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi memberi tumpuan kepada baki sembilan perlawanan Liga Perdana yang bermula 19 Jun ini.

Katanya, pasukannya tidak boleh keciciran mata lagi bagi berdepan UITM FC pada Selasa minggu depan dan para pemain perlu mengutamakan perlawanan itu berbanding berhari raya.

“Kami hanya diberi cuti sehari sahaja dan akan kembali menjalani latihan pada hari raya kedua. Jadi, saya minta rakan sepasukan korbankan hari raya tahun ini kerana kami mempunyai misi lebih besar untuk dilaksanakan.

“Saya berharap pemain menjaga pemakanan mereka meraikan Aidilfitri pada raya pertama dan turun berlatih pada raya kedua dalam keadaan sihat serta cergas,” katanya kepada Berita Harian.

Selepas mengalami kekalahan 0-2 kepada UKM FC, Felcra perlu menumpukan sepenuh perhatian bagi misi layak secara automatik ke Liga Super musim depan.

Mengulas lanjut, Shahrom juga mahu rakan-rakannya mengambil iktibar daripada kekalahan sulung itu agar tidak memandang mudah terhadap mana-mana pasukan kerana semua pasukan menunjukkan peningkatan pada pusingan kedua.

“Berdasarkan persembahan musim ini serta kedudukan kami sekarang, Felcra mempunyai potensi untuk mencapai tangga kedua dan layak ke Liga Super. Peluang itu tidak patut kami lepaskan.

“Namun, pemain perlu bekerja lebih keras untuk menghadapi baki perlawanan kerana pasukan seperti MIFA dan PDRM yang kini berada di tangga kedua dan keempat, juga mempunyai matlamat dan peluang serupa.

“Malah, pasukan kelompok bawahan sebelum ini seperti JDT II sudah menunjukkan peningkatan pada pusingan kedua. Kekalahan kepada UKM seharusnya membuka mata agar tidak mengambil mudah,” katanya.

Felcra kini menduduki tangga ketiga dengan 22 mata, ketinggalan di belakang MIFA namun memiliki kelebihan dua perlawanan dalam tangan.