Liga Super Malaysia Berita

MFL: Liga Malaysia musim 2021 tidak akan dibatalkan

MFL menafikan laporan yang menyatakan saingan Liga Malaysia musim 2021 akan dibatalkan seperti yang disebarkan sesetengah pihak di media sosial.

Sebaliknya, CEO MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata pihaknya sedang berusaha untuk memastikan kalendar bola sepak Malaysia berjalan dalam tempoh pandemik COVID-19 ini.

Katanya, dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Majlis Sukan Negara (MKN) masing-masing sedang melihat mekanisme terbaik menjalankan Liga Malaysia musim 2021 selaras amalan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Justeru, Ghani kecewa selepas melihat laporan-laporan palsu mendedahkan Liga Malaysia 2021 terpaksa dibatalkan sekali gus ia memberikan impak negatif kepada pihak penaja selain agensi-agensi kerajaan yang tampil membantu MFL dalam menjayakan perancangan liga tempatan.

“Pertama, saya mahu menafikan dengan laporan berita yang mengatakan Liga Malaysia musim 2021 dibatalkan dan Presiden MFL, Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan beliau tidak membuat kenyataan kepada mana-mana media akhbar atau blog tempatan.

“Untuk makluman, MFL telah mengadakan mesyuarat dalam talian bersama Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

“Dalam mesyuarat itu, MFL dan MSN masing-masing membincangkan serta mengkaji mekanisme-mekanisme pelaksanaan Liga Malaysia musim 2021 dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Mesyuarat itu diadakan sebagai usaha memastikan perjalanan kalendar bola sepak Malaysia berjalan seperti yang dirancang selaras amalan SOP yang ditetapkan oleh KKM.

“Saya berasa kesal dengan segelintir pihak yang cuba mengagalkan usaha keras kami untuk memastikan Liga Malaysia musim 2021 berjalan seperti biasa melalui perkhabaran palsu ini,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Pada masa sama, Ghani berkata MFL akan mengeluarkan kenyataan media berhubung kalendar liga tempatan bagi musim 2021 pada minggu hadapan.

“Perubahan daripada jadual itu dijangka akan berlaku berikutan penguatkuasaan PKP dan itu tidak boleh dinafikan tetapi pembatalan Liga Malaysia musim 2021, Insya-Allah tidak akan terjadi.”