Malaysia Kolum

Futsal Malaysia perlu perhatian

Futsal merupakan salah satu sukan yang digemari rakyat Malaysia selain bola sepak. Tidak hairan jika kewujudan Pusat Futsal yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan terutamanya di Lembah Klang. Ini kerana permintaan yang tinggi dikalangan pemain yang tidak mengenal bangsa, agama, umur, dan latar belakang.

Thailand yang merupakan Raja Futsal di rantau asia juga mewujudkan Liga Futsal. Secara asasnya, liga ini ditubuhkan bagi mencungkil bakat-bakat baru dan secara tidak langsung ia membuka ruang kepada pemain-pemain baru. Hasilnya dapat dilihat pada ranking dunia Thailand yang terkini iaitu berada di kedudukan ke-19 dunia. 

Itu juga yang dilakukan di Malaysia. Liga Premier Futsal Malaysia yang sebelum ini dikenali sebagai Liga Futsal Kebangsaan adalah satu platform yang disediakan khas bagi memberi peluang kepada bakat baru dalam pada masa yang sama bertujuan untuk mencari pemain yang layak mewakili negara. 

Terdapat tiga sebab utama mengapa sukan futsal perlu diberi perhatian di Malaysia:

Pengiktirafan

Sukan futsal telah mendapat pengiktirafan antarabangsa seperti daripada badan induk bola sepak FIFA. Malah, Kejohanan Piala Dunia Futsal telah lama dianjurkan sejak 1989 iaitu 30 tahun lepas. Oleh itu, inilah peluang Malaysia untuk menjadi juara dunia seperti mana yang dilakukan dalam sukan lain seperti badminton dan skuash.

Ranking 

Buat yang tidak mengetahui, Malaysia kini menghuni tangga ke-54 dunia. Satu pencapaian yang boleh dibanggakan dan boleh juga diperbaiki kedudukan tersebut pada masa depan. Malaysia juga dianggap antara pasukan berbahaya di dunia. Nama negara besar seperti Mexico pun kita mampu tewaskan. Buktinya, pada kejohanan jemputan The Belt and Road Cup CFA International Futsal Tournament 2019, Malaysia dengan bersahaja membelasah Mexico 9-2. 

Bakat

Fakta yang kita tidak dapat nafikan ialah kualiti pemain yang kita miliki. Kita bukan sahaja mempunyai barisan pemain lelaki yang bagus, tetapi juga barisan pemain wanita. Ramai pemain yang berbakat sekadar memasuki pertandingan atau kejohanan futsal yang dilaksanakan secara ‘one off’. Jadi, dengan wujudnya platform seperti Liga Premier Futsal Malaysia hasil inisiatif Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ini, ianya dapat membantu untuk mengembangkan bakat pemain-pemain yang kita miliki. Antara nama pemain futsal yang popular di Malaysia seperti Mohd Khairul Effendy, Mohd Ridzwan Bakri, Syed Aizad Daniel, dan Abu Haniffa Hasan.