Malaysia Kolum

Kebangkitan Meen

Khyril Muhymeen Zambri bukanlah nama baru dalam dunia bola sepak tempatan. Pemain kelahiran Alor Setar ini mula mencipta nama sewaktu di usia muda semasa beraksi bersama pasukan Kedah. 

Khyril Muhymeen atau lebih mesra dengan nama panggilan Meen membuat penampilan bersama skuad Hijau Kuning pada musim 2005 dan berjaya menyumbang tiga gol. Sembilan tahun menabur bakti bersama Kedah dan merupakan salah seorang pemain yang menganggotai skuad ‘double treble’ pada 2007 dan 2008. Para peminat pasukan Kedah pasti mengingati kelincahan pemain ini yang bergandingan dengan Marlon Alex James. Berikutan prestasi cemerlang yang ditunjukkan, Meen dipanggil untuk mewakili skuad B-22 tahun negara sebelum dipanggil untuk menyarung jersi kebangsaan. 

Segala-galanya berubah sekelip mata buat Meen yang menghadapi kecederaan lutut yang serius pada tahun 2009 ketika aksi persahabatan menentang Kenya. Namun, Meen kembali sembuh dan beraksi pada tahun 2010. Apa yang menjadi perbezaan adalah kualiti persembahan yang dipamerkan Meen tidak lagi seperti dahulu. Ketajaman dan kelincahan yang digeruni pertahanan pasukan pihak lawan sudah tiada lagi.

Pemain posisi serangan ini cuba bangkit dang membuktikan kemampuan dengan menyertai beberapa pasukan. Tetapi hasilnya masih gagal dan menuju jalan buntu. Pada awal 2019, Meen telah menyertai pasukan Perlis dan telah mencipta dua jaringan daripada tiga perlawanan sebelum angkat kaki daripada pasukan tersebut yang menghadapi isu serius dan rumit.

Akhirnya, Selangor menjadi destinasi seterusnya buat Meen. B. Sathianathan yang pernah membimbing skuad B-22 negara satu ketika dahulu, merupakan pengendali pasukan Selangor dan beliau tahu akan kemampuan Meen kerana sebelum ini mereka berdua pernah bekerjasama pada kejohanan Pesta Bola Merdeka 2007. 

MFL Facebook

Ibarat pintu yang terbuka luas, Meen tidak mensia-siakan peluang yang ada dan membuktikan kemampuan sebenar selepas bangkit daripada kecederaan. Hasilnya, Meen berjaya menjaringkan tiga gol dalam saingan Liga Super 2019 sementara menyumbangkan empat gol dalam kempem Piala Malaysia 2019. Dua gol yang disumbat oleh Meen pada perlawanan suku akhir menentang Perak membawa Selangor ke separuh akhir.

Selangor bakal berdepan Johor Darul Ta’zim bagi pusingan separuh akhir. Mampukah Meen meneruskan perjalanan dalam memburu kejuaraan ke-34 buat Gergasi Merah Kuning?