Liga Super Malaysia Berita

Kalendar Liga Malaysia 2024

Selari dengan transisi Liga Malaysia mengikut format kalendar AFC, musim baharu Liga Malaysia akan bermula pada 3-5 Mei 2024 sehingga April 2025.

MFL terpaksa melakukan sedikit perubahan pada tarikh asal sepak mula Liga Malaysia sebelum ini iaitu pada pertengahan April 2024 selepas mengambil kira beberapa faktor khususnya penglibatan pemain-pemain kelab Liga Malaysia bersama skuad senior kebangsaan, skuad B23, penyertaan kelab di Piala AFC 2023, persiapan pra-musim dalam bulan Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Selepas Liga Malaysia melabuhkan tirai pada 17 Disember 2023, pemain-pemain Harimau Malaya akan melaporkan diri ke kem latihan pusat pada 26 Disember 2023 sebelum mengharungi Kejohanan Piala Asia 2023 di Doha, Qatar pada 12 Januari 2024 hingga 10 Februari 2024.

Kemudian tugasan skuad Harimau Malaya akan diteruskan dengan perlawanan Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Oman pada 21 dan 26 Mac 2024.

Perubahan terhadap perancangan asal kalendar Liga Malaysia juga terpaksa dilakukan MFL berikutan pengumuman AFC berkenaan tarikh Piala Asia B-23 2024 hanya dibuat pada 17 Mei 2023.

Selain itu, Sabah FC juga bakal meneruskan kempen Piala AFC peringkat separuh akhir Zon Asean pada 13 atau 14 Februari 2024 serta penglibatan pemain muda kelab-kelab Liga Malaysia bersama Skuad B-23 negara di pusingan akhir Piala Asia B-23 Doha, Qatar bermula pada 15 April 2024 sehingga 3 Mei 2024.

Dengan beberapa tugasan antarabangsa pada awal tahun ini khususnya melibatkan skuad Harimau Malaya dan Skuad B-23, MFL juga mengambil kira kekangan masa pasukan-pasukan dalam membuat persiapan menjelang musim baharu liga 2024/2025 berikutan sambutan Ramadan daripada awal Mac 2024 dan perayaan Aidilfitri dijangka pada 10 atau 11 April 2024.

Justeru dengan mengambil kira segala faktor ini, MFL percaya tarikh yang telah ditetapkan ini adalah tarikh yang sesuai untuk saingan Liga Malaysia musim 2024/2025.

MFL turut memaklumkan musim baharu saingan Piala MFL akan bermula pada 13 Mei 2024 manakala tarikh pendaftaran pemain ‘transfer window’ Liga Malaysia 2024/2025 akan bermula pada 3 Februari sehingga 26 April 2024.