MFL mengumumkan kerjasama strategik dengan Grab Malaysia sebagai Rakan e-Hailing & Pasaran Makanan Rasmi.
Kerjasama ini bertujuan untuk meningkatkan pengalaman peminat bola sepak melalui pelbagai usaha, sama ada secara langsung di padang semasa perlawanan atau di aplikasi Grab, bermula dengan Piala Sultan Haji Ahmad Shah – Piala Sumbangsih pada 10 Mei ini.
Bersempena dengan Piala Sumbangsih, para peminat boleh menikmati pelbagai tawaran menarik untuk meraikan demam bola sepak di aplikasi Grab.
“Kami memahami betapa pentingnya bola sepak dalam menyatukan negara serta memupuk semangat cinta pada negara,” kata Pengarah Urusan Grab Malaysia, Adelene Foo.
“Melalui kerjasama ini, kami berhasrat untuk menyokong MFL dalam misinya untuk meningkatkan pengalaman bola sepak bagi para peminat di seluruh negara dengan memanfaatkan keupayaan teknologi dan inovasi kami. Bersama-sama, kami berharap agar dapat meningkatkan jangkauan dan impak bola sepak profesional di Malaysia.”
Kerjasama ini akan menyokong MFL dalam misinya untuk memajukan lagi landskap bola sepak Malaysia, serta melambangkan matlamat bersama untuk memupuk bakat dan mendorong kemajuan dalam komuniti bola sepak.
Sokongan ini akan diperluaskan untuk memanfaatkan pelbagai entiti yang berada di bawah keleloan MFL, termasuk Piala Sumbangsih (Piala Sultan Haji Ahmad Shah), Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia, MFL Challenge Cup dan Piala MFL.
“Kami yakin Grab Malaysia akan meningkatkan keseluruhan pengalaman bagi peminat bola sepak yang hadir di acara bola sepak kami ataupun bagi mereka yang menonton dari rumah,” kata CEO MFL, Datuk Stuart Ramalingam.
“Bola sepak sentiasa menjadi kuasa penyatuan di negara kita kerana ia menyatukan orang ramai dalam semangat yang sama terhadap sukan ini dan memupuk perpaduan serta kebersamaan. Kerjasama ini berhasrat untuk meningkatkan penglibatan dan pengalaman para peminat, serta mencipta detik yang tidak dapat dilupakan bagi mereka di seluruh Malaysia.”