Liga Super Malaysia Berita

FIFA lulus VAR Liga Malaysia

FIFA secara rasminya pada Isnin, 29 April 2024 telah mengiktiraf dan meluluskan penggunaan teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) di Liga Malaysia bermula musim 2024-2025.
Pengiktirafan FIFA ini menjadikan Malaysia sebagai antara 68 negara yang mana FIFA telah memberi kelulusan untuk penggunaan teknologi VAR.
Keputusan itu dibuat selepas delegasi FIFA yang hadir ke negara ini pada April lalu iaitu Bhaveshan Moorghan dan instruktur VAR FIFA, Igor Rodajcic telah melakukan proses penilaian dan ujian terhadap tahap kemahiran pengadil-pengadil dan keberkesanan teknologi VAR.
Sebanyak 6 perlawanan percubaan telah dilakukan oleh FAM dan MFL telah menyediakan sebanyak 8 perlawanan pramusim yang melibatkan pasukan-pasukan Liga Super bagi memberi peluang kepada pengadil-pengadil untuk terus memahirkan diri dengan teknologi VAR sebelum menghadapi musim Liga Super 2024-2025.
“Bhaveshan melalui laporannya telah memuji tahap persiapan dan keberadaan tahap kemahiran yang ada pada pengadil-pengadil VAR di negara ini, sekali gus membawa kepada kelulusan FIFA untuk penggunaan teknologi VAR dalam saingan Liga Malaysia 2024-2025 yang akan bermula 10 Mei ini,” kata Timbalan Presiden FAM, Datuk S. Sivasundaram merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM.
Langkah pelaksanaan VAR di Malaysia telah dimulakan pada April 2023 dengan lawatan delegasi dari FIFA untuk memberi taklimat tentang protokol VAR dan prosedur pelaksanaannya.
Seterusnya FAM memulakan latihan pengadil VAR yang bermula pada Jun 2023 hingga April 2024 dengan melalui tiga fasa latihan.
Hasilnya, FIFA telah mentauliahkan seramai 22 Pengadil sebagai pengadil VAR, 20 Penolong Pengadil sebagai AVAR dan sembilan Pengadil sebagai Replay Operator.
FAM juga turut melatih seramai 17 Penolong Pengadil untuk memahami protokol VAR dan akan dilantik sebagai Penolong Pengadil 1 dan 2.
Sebagai langkah jangka panjang pula, FAM akan meneruskan proses pengajaran dan pembelajaran kemahiran VAR.
FAM turut akan membuat post-mortem perlawanan (post match review) sebagai langkah pengkukuhan dan pemurnian pendidikan VAR.
“FAM juga akan memulakan latihan VAR fasa kedua untuk menambahkan lagi bilangan pengadil-pengadil VAR. Usaha ini akan dimulakan dalam masa terdekat ini.
“Penggunaan VAR di Liga Malaysia juga diharap akan mampu meningkatkan mutu bola sepak negara amnya,” katanya.