Luar Negara Berita

Luqman ingatkan cedera ringan, tidak sangka terpaksa berehat lama

Luqman Hakim Shamsudin mengakui tidak menyangka akan mengalami kecederaan serius dan perlu berehat sekurang-kurangnya tiga minggu.

Ini selepas jabatan perubatan kelab KV Kortrijk mendapati pemain berusia 18 tahun itu mengalami kecederaan hamstring pada paha kanannya ketika menjalani sesi latihan sehari selepas perlawanan menentang Anderlecht minggu lalu.

“Ketika sesi latihan menyepak bola, tiba-tiba saya rasa sakit di paha sebelah kanan,” katanya kepada Utusan.

“Bila doktor periksa terdapat koyakan otot di paha kira-kira 2cm. Doktor nasihatkan saya untuk berehat dulu dalam masa tiga minggu untuk fokus kepada proses pemulihan.

“Saya mula rasa sakit selepas perlawanan menentang RSC Anderlecht minggu lalu, cuma ketika itu saya ingat cedera biasa.”

Bagaimanapun, Luqman dilihat tidak patah semangat walaupun kecederaan itu menyebabkan dia terlepas beberapa perlawanan liga.

“Saya berharap sesi pemulihan akan berjalan lancar dan dapat segera sembuh untuk kembali bersama rakan pasukan.”