Liga Super Malaysia Berita

Kedah FA langsai tunggakan gaji bernilai RM3.8 juta

Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Sanusi Md Nor mengesahkan pihaknya telah berjaya melangsaikan semua tunggakan gaji bernilai RM3.8 juta.

Ini bermakna, ia meliputi tunggakan gaji tiga bulan iaitu bulan April, Mei dan Jun tahun ini.

Sanusi menganggap penyelesaian tunggakan gaji itu dapat membantu menaikkan semangat para pemain dalam menghadapi Piala Malaysia.

“Saya yakin dengan prestasi semasa pasukan bimbingan Ketua Jurulatih Aidil Sharin Sahak, Kedah mampu menewaskan Pahang,” katanya kepada Bernama.

Sanusi akan terus menerajui Kedah FA apabila membuat keputusan untuk menarik balik peletakan jawatannya.

Pasukan Kedah akan menggunakan nama Kedah Darul Aman FC bermula musim depan, dan akan diuruskan oleh syarikat Darul Aman Sdn Bhd.

Bagaimanapun, Menteri Besar Kedah Incorporated (MBI) memiliki 80 peratus saham syarikat tersebut, yang dilihat bertentangan dengan proses penswastaan kelab.

Kedah akan bertemu Pahang dalam pusingan 16 bagi saingan Piala Malaysia yang akan bermula pada 6 Nov ini.