Liga Super Malaysia Berita

FAM, AFC tiada kuasa masuk campur kes Sumareh – Windsor John

Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor John menyifatkan badan bola sepak Asia dan FAM sendiri tidak mempunyai kuasa untuk masuk campur berhubung status Mohamadou Sumareh dengan bekas pasukannya, Pahang.

Beliau menganggap kes Sumareh sedang dikendalikan di peringkat FIFA dan hanya keputusan badan bola sepak dunia itu yang sah di sisi undang-undang.

Justeru, sebarang hukuman yang dikenakan oleh Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) terhadap Sumareh adalah tidak sah.

“Sekarang ini kes sudah dibawa ke FIFA sekali gus, FAM dan AFC tiada kuasa untuk masuk campur dan biarkan badan induk bola sepak dunia terbabit menyelesaikannya,” katanya kepada Harian Metro.

“Ingin saya tekankan, tiada salah jika Sumareh terus membawa kes kepada FIFA kerana semua pemain adalah di bawah tanggungjawab badan induk bola sepak dunia itu termasuklah membabitkan isu tunggakan gaji.

“Sekarang ini, saya difahamkan, FIFA sudah mulakan siasatan dan mungkin dalam masa terdekat kita akan mengetahui keputusannya.”

Tindakan PBNP ‘menggantung’ Sumareh dua tahun daripada sebarang aktiviti bola sepak mengundang reaksi negatif pelbagai pihak, dengan kebanyakan menganggap badan bola sepak negeri itu tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan sedemikian.