Liga Super Malaysia Berita

Felda United, UKM FC kemuka rayuan kepada FAM

Felda United dan UKM FC bertindak mengemukakan rayuan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung status pasukan untuk musim depan.

Ini selepas FAM membuat keputusan untuk menolak permohonan kedua-dua pasukan tersebut meskipun telah melengkapkan proses penswastaan kelab, kerana mendapati tidak mempunyai kewangan kukuh untuk bersaing dalam saingan Liga Malaysia musim 2021.

Pengarah FUFC The Fighters Sdn Bhd, Afizal Abu Othman berkata, rayuan berkenaan telah pun dihantar sebaik sahaja mendapat tahu mengenai keputusan FAM.

“Kita rasa mungkin dokumen yang kita hantar itu tidak cukup untuk menjamin bahawa pelabur baharu untuk ambil alih pasukan,” katanya kepada Sinar Harian.

“Kami bukan seperti pasukan lain iaitu dari Persatuan Bola Sepak Negeri ke Kelab Bola Sepak. Dana pun kami perolehi daripada pihak Felda tetapi mereka kata dah tak bagi kami dana, jadi kami kena cari sendiri pelabur yang baharu dan dalam keadaan sekarang ia bukan satu perkara yang mudah

“Dokumen yang kami berikan itu pun tak cukup kuat, jadi kami minta, kami rayu agar FAM dapat pertimbangkan rayuan supaya kami dapat sediakan lagi dokumen-dokumen sokongan daripada syarikat, penaja yang ada sebagai sokongan untuk mengharungi cabaran tahun hadapan.”

Wakil pengurusan UKM FC yang tidak dinamakan juga mengesahkan pihaknya akan mengemukakan rayuan dalam masa terdekat.

“Kami memang nak bersemuka sendiri dengan FAM dengan membawa sekali pihak syarikat yang mahu bekerjasama dengan Varsity Boys.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam mengesahkan pihaknya terbuka mendengar rayuan kedua-dua pasukan.