
Buriram United muncul juara Kejohanan Kelab ASEAN apabila menewaskan Cong An Hanoi dari Vietnam 3-2 dalam penentuan sepakan penalti selepas terikat seri 3-3 dalam perlawanan akhir kedua di Buriram.
Buriram bagaimanapun ketinggalan 2 gol di separuh masa pertama di laman sendiri hasil jaringan Jason Pendant seawal minit ke-15 dan Leo Artur menerusi sepakan penalti pada minit ke-39.
Ketika perlawanan masuk ke 10 minit terakhir, Cong An yang masih mendahului 2-0 hampir pasti menjulang piala.
Namun, Buriram akhirnya berjaya menjaringkan gol menerusi Peter Zulj pada minit ke-83 untuk merapatkan kedudukan kepada 2-1.
Cong An yang tetap yakin akan menjulang piala apabila perlawanan memasuki minit ke-8 masa tambahan dinafikan kemenangan di saat-saat akhir apabila Lucas Crispim menjaringkan gol penyamaan memaksa perlawanan diteruskan ke-120 minit.
Buriram mendahului pertama kali dalam perlawanan hasil jaringan penalti Guilherme Bissoli pada minit ke-105 menjadikan kedudukan 3-2.
Ketika perlawanan berbaki 2 minit sahaja lagi, Cong An menafikan kemenangan Buriram apabila Alan menjaringkan gol penyamaan menjadikan kedudukan 3-3 memaksa perlawanan ke penentuan sepakan penalti.
Buriram mendahului 2-1 dalam sepakan penalti apabila Pendant gagal menyempurnakan penalti untuk Cong An.
Namun, kedua-dua pasukan gagal menjaringkan penalti ke-3. Kedudukan menjadi 3-2 apabila kedua-dua pasukan berjaya menyempurnakan sepakan penalti ke-4.
Dalam penentuan sepakan penalti ke-5, Kenny Dougall gagal melebarkan jurang untuk Buriram.
Bui Hoang Viet Anh yang mempunyai peluang untuk menyamakan kedudukan gagal berbuat demikian sekaligus memberikan kemenangan kepada Buriram.
Ini kejuaraan pertama Buriram di peringkat ASEAN.