Liga Super Malaysia Berita

JDT didenda AFC kerana insiden penyokong

JDT dikenakan denda USD24,000 (RM103,008) oleh AFC kerana insiden penyokong ketika menentang Buriram United dalam perlawanan kedua pusingan 16 AFC Champions League Elite di Stadium Sultan Ibrahim, 11 Mac lalu.

Insiden itu berlaku pada minit ke-97 apabila jaringan Jorge Obregon dibatalkan selepas berada dalam kedudukan ofsaid.

Menurut Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC, penyokong bertindak membaling objek kepada penjaga garisan, Abdulhadi Al-Enezi.

Justeru itu, JDT diarahkan membayar denda sebanyak RM42,920 kerana melanggar Artikel 65.1 Kod Tatatertib dan Etika AFC.

JDT turut didenda RM55,796 kerana melanggar Artikel 64.1 Kod Tatatertib dan Etika AFC serta diarahkan membayar denda sebanyak RM4,292 kerana melanggar Artikel 50.1 Kod Tatatertib dan Etika AFC.

Jumlah keseluruhan denda itu perlu dijelaskan dalam tempoh 30 hari dari tarikh keputusan dimaklumkan, selaras dengan Artikel 11.3 Kod Tatatertib dan Etika AFC.