Pahang, negeri terbesar di semenanjung mempunyai kecantikan dan keindahan yang tersembunyi. Tinggi melangit kebangaan Gunung Tahan. Puncak tertinggi di Semenanjung Malaysia. Tidak kurang pula dengan semangat patriotisme yang tinggi daripada kalangan penduduknya. Sehingga berjaya membawa nama Pahang dalam sukan bola sepak ditakuti kawan dan lawan.
Juara empat kali Piala Malaysia (1983, 1992 ,2013, 2014) dan tiga kali Piala FA (2018, 2014, 2006) telah menempa nama dalam arena bola sepak negara dengan begitu lama. Tetapi semangat mereka tidak pernah putus asa, percaya dan terus percaya.
Tetapi tahukah anda bahawa kekuatan mereka bukan sahaja daripada acara bola sepak padang, tetapi mereka juga kental dengan futsal. Satu acara bola sepak tertutup yang secara rasmi diselia oleh badan pentadbiran antarabangsa bola sepak, Fédération Internationale de Football Association (FIFA).
Di mana mereka dikenali sebagai Pahang Rangers FC, membawa satu panji yang sama seperti yang dibawa oleh Pahang FA – Untuk menang, untuk dikenang. Dengan 18 daripada 25 orang pemain merupakan anak jati negeri Pahang. Lebih menarik lagi, mereka diwakili oleh 22 pemain muda, satu angka yang harus dipuji dan tiga orang pemain senior memegang watak sebagai tulang belakang pasukan yang mempunyai fungsi sama seperti kebanggaan mereka, Gunung Tahan.
Pasukan ini terbina daripada hasil usaha YAM Tengku Arif Temenggong Pahang Tengku Fahd Mua’adzam Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah. Semangat beliau dalam mengejar cita-cita tinggi telah membawa Pahang Rangers sebagai salah sebuah kelab yang seharusnya digeruni menjelang Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL).
“Saya suka pemain bola sepak yang pandai, pemain yang boleh mengawal perlawanan,” kata Tengku Fahd ketika membuka bicara tentang sukan bola sepak.
Bagi beliau kepandaian dalam seorang pemain bola sepak bukan sahaja merangkumi cara pemain tersebut mengawal bola tetapi pemain tersebut harus pandai membaca apa yang akan terjadi selepas ini. Ia mengawal menggunakan deria fikir untuk memasukkan bola ke gawang lawan.
Dalam masa yang sama, beliau tekad untuk membantu bagi mengembangkan sukan futsal di Malaysia dan mempunyai misi untuk melihat sukan futsal di Malaysia berdiri tinggi di mata dunia. Tekad dan semangat Tengku Fahd telah tertubuhnya Pahang Rangers.
“Pada waktu itu, Tengku Aidy mempunyai satu pasukan futsal yang bertapak di Pahang dan bermain di liga tempatan. Selepas saya habis belajar pada tahun 2016, saya pulang ke Pahang dan Tengku Aidy memberi saya cadangan untuk menubuhkan pasukan futsal.
“Beliau kata kepada saya ‘kita perlu mencabar untuk naik ke atas’ dan mencadangkan kepada saya untuk menyertai Liga Futsal Kebangsaan (LFK) – sekarang dikenali sebagai Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL).
“Daripada situlah bermulanya perjalanan kami sebagai pasukan Futsal dengan nama Kuantan Rangers (2016)”
Dalam masa yang sama, beliau juga turut berkongsi pelan jangka panjang yang sedang diusahakan oleh Pahang Rangers.
“Kami mahu memenangi MFPL tahun ini dan cuba untuk memenanginya setiap musim. Manakala, perancangan terbesar kami adalah untuk layak ke AFC Futsal Club Championship dan cuba untuk memenanginya.
“Itu adalah impian kami di Pahang Rangers.” Katanya.
Beliau mengakui cabaran yang perlu dilalui berliku dan memenatkan, tetapi akhirnya ia tumbuh menjadi hasil yang baik.
“Biarpun gagal layak pada LFK tahun pertama kami dijemput oleh negara Brunei untuk menyertai Liga Futsal Brunei dan ia adalah salah satu usaha kami untuk memberi para pemain satu pentas untuk bersaing dengan lebih tinggi.”
Ia menjadi lebih manis apabila Pahang Rangers memenangi Liga Futsal Brunei dan kemenangan tersebut adalah hasil usaha yang tidak berbelah bagi daripada semua pemain dan staff.
Kemenangan ini juga membawa erti yang manis buat para pemain Pahang Rangers untuk kekal konsisten dalam permainan mereka demi untuk mengejar kejuaraan yang diidam.
Tetapi sayangnya kepulangan mereka tidak didendang. Tidak banyak yang ingin menjual kisah mahal pasukan ini dan tidak ramai yang mahu meraikan berita yang mengembirakan.
Tengku Fahd tanpa berselindung mengakui budaya futsal kita masih belum kuat berkembang tetapi sedang dalam perjalanan untuk bergerak maju.
“Tidak banyak pendedahan tentang futsal,” Katanya.
“Ramai yang menyukai futsal, tetapi tiada siapa yang mencintai futsal. Ini kerana pendedahan tidak begitu tinggi tentang kepentingan sukan futsal. Cuba anda lihat Thailand, Indonesia, Sepanyol atau Jepun, kesemua mereka ini sedang dalam usaha untuk mengembangkan sukan futsal. Kerana mereka percaya, sukan futsal mempunyai potensi yang besar untuk diangkat setaraf dengan bola sepak padang.”
Untuk rekod, jiran kita, Thailand telah menyertai 5 daripada 8 Piala Dunia FIFA Futsal. Penyertaan pertama mereka adalah pada tahun 2000 di Guatemala dan yang terbaru adalah pada tahun 2016 di Colombia. Thailand tidak pernah terlepas Kejohanan Dunia selepas penampilan sulungnya pada tahun 2000, hadir 5 edisi berturut-turut termasuk Piala Dunia FIFA Futsal 2012 di Bangkok, Thailand.
Manakala pasukan Jepun layak buat pertama kali ke pusingan 16 Piala Dunia FIFA Futsal di Bangkok.
Tengku Fahd yakin, masalah ini boleh diatasi jika semua pihak bekerjasama dalam membina tapak yang kukuh untuk sukan futsal. Kerana beliau percaya dengan potensi yang dibawa oleh pasukan futsal negara.
Tetapi bagi Tengku Fahd, pendedahan juga perlu dilakukan bukan sahaja daripada kalangan peminat tetapi juga daripada cara liga dijalankan.
“Apa yang mungkin boleh dilakukan adalah dengan mewujudkan divisyen kedua kerana sukan ini sedang mendapat permintaan tinggi daripada generasi baru kita. Setiap minggu kita mendengar perlawanan futsal di sekitar Kuala Lumpur dan ia telah menjadi satu fenomena buat anak muda yang fanatik dengan sukan ini.
“Kewujudan divisyen dua akan membantu para pasukan yang gagal layak ke MPFL untuk bersaing sesama sendiri di divisyen dua.
“Kedua kita buka penyertaan ini untuk pemain import menyertai pasukan tempatan. Sekurang-kurangnya seorang pemain import pada setiap pasukan. Kerana bagi saya, pemain import akan membawa populariti kepada pasukan tersebut dan kesan yang dibawa akan menaikkan sukan futsal di negara kita. Hasilnya nanti, ramai orang akan menonton futsal dan mengikuti sukan ini dengan lebih dekat.” Katanya.
Kemasukkan pemain import akan memudahkan kerja-kerja menaikkan sukan futsal di negara ini. Mereka bukan sahaja mampu menarik lebih ramai penonton, tetapi mampu menaikkan prestasi pasukan dan juga cara permainan pemain tempatan. Kesan ini dapat dilihat di Liga Super, sewaktu Kedah masih di bawah kendalian Azraai Khor dan memenangi double treble. Kebanyakkan penyokong mereka hadir ke Stadium Darul Aman untuk menonton persembahan Marlon Alex James dan Nelson San Martin.
Begitu juga dapat dilihat dengan usaha Johor Darul Ta’zim yang membawa nama besar dalam kancah Liga Malaysia telah memberi kesan yang baik. Kedatangan Pablo Aimar, lagenda bola sepak Argentina dan terbaru Diogo Luis Santo, bekas penyerang Olympiacos telah memberi kesan populariti kepada pasukan. Ia membuatkan para peminat bola sepak berminat untuk hadir ke stadium dan memberi sokongan kepada pasukan.
Tengku Fahd juga percaya kemampuan pemain import akan meningkatkan permainan pemain tempatan dan beliau meluahkan harapan untuk melihat pasukan negara beraksi di Piala Dunia.
Untuk pasukan futsal negara, Malaysia berada di ranking ke 53 dunia dan memerlukan satu usaha yang terus dan konsisten untuk menolak kita berada bersama-sama dengan 10 kelompok terbaik dunia.
“Untuk melihat pasukan negara bermain di Piala Dunia, kita perlu bermula daripada sekarang kerana ia adalah misi utama kita. Ia adalah impian semua pemain dan peminat bola sepak tempatan.
“Saya mengharapkan lebih banyak sekolah sukan dan akademi bola sepak yang dibina untuk mengajar falsafah bola sepak moden. Ia adalah usaha yang penting dan kita perlu terus kekal konsisten jika mahu maju.”
Di akhir perbincangan, Tengku Fahd menekankan betapa pentingnya untuk meletakkan impian yang tinggi.
“itulah kecantikan yang ada pada permainan ini, anda meletakkan harapan yang tinggi dan anda berusaha untuk mendapatkannya. Sebagai seorang presiden, itulah jalan yang saya pilih”