Malaysia Berita

KAFA salahkan KRW

Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan menyalahkan Kelantan Red Warriors (KRW) – My Inspiration di atas potongan tiga mata dalam saingan Liga Perdana selepas gagal melunaskan bayaran tunggakan gaji Pengarah Teknikal Kelantan, Alfredo Gonzales.

Bibi Ramjani menjelaskan kepada media bahawa perjanjian awal diantara KRW dan KAFA telah bersetuju untuk menyelesaikan beberapa tunggakan gaji bekas pemain dan jurulatih seperti yang ditetapkan oleh Perseketuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA)

Memetik kata-kata beliau di Berita Harian, “selepas KRW mengambil alih pada awal tahun ini, mereka bersetuju untuk membayar semua hutang yang ditanggung KAFA termasuklah tuntutan gaji Alfredo seperti yang diarahkan FIFA,” kata Bibi.

“Namun akibat kemelut gaji tertunggak melanda pasukan pada bulan Februari dan Mac, tuntutan gaji Alfredo yang sepatutnya dibayar juga turut tertunggak sehingga melebihi tarikh akhir.”

Sebelum ini, Kelantan telah dipotong tiga mata selepas gagal melunaskan bayaran seperti yang diarahkan oleh FIFA.

Mengulas lanjut, Bibi Ramjani berkata, pihaknya bagaimanapun terpaksa menerima perkara ini dengan hati terbuka memandangkan keadaan semasa yang menghimpit persatuan.

“Saya menerima keputusan itu dengan hati yang terbuka dan apa yang saya amat harapkan supaya pemain jangan mudah patah semangat dengan tindakan ini.

“Pemain perlu bangkit mencipta kemenangan dalam perlawanan seterusnya untuk mengembalikan kedudukan kita dan mencapai misi untuk kembali ke Liga Super musim hadapan,” katanya kepada Berita Harian.