Malaysia Berita

Penantian TFC bakal berakhir

Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim mengakui anak buahnya cukup teruja untuk beraksi di hadapan penyokong lebih ramai apabila padang Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin akan dibaikpulih menerusi kerjasama Malaysian Football League (MFL).

Jelas Irfan, Stadium Sultan Nasaruddin Shah yang menjadi venue rasmi musim ini hanya mampu memuatkan kapasiti penonton kurang daripada 10,000 berbanding Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin 50,000.

Apa yang pasti, beliau berbangga apabila TFC menjadi pasukan pertama selaku perintis usaha MFL dalam meningkatkan kualiti padang bagi setiap venue pasukan yang bertanding seterusnya mampu beri aura baharu kepada TFC.

“Saya begitu gembira apabila MFL sumbangkan sesuatu kepada TFC untuk ambil inisiatif memulihkan padang stadium kami.

“Kalau Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin dapat digunakan nanti, pasti sekurang-kurangnya 20 ribu ke 30 ribu penyokong dapat hadiri menyaksikan perlawanan berbanding sekarang yang hanya dapat menampung lapan hingga 10 ribu orang sahaja.

“Sebelum ini,padang di sana( Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin) memuaskan tetapi sistem saliran serta permukaan padang tidak kukuh.

“Jika di waktu pagi hujan lebat maka di waktu petang padang tidak boleh digunakan malah kena tunggu beberapa hari sehinggalah padang kering, ” katanya.

Menjelang pusingan ketiga Shopee Piala FA 2019 pada Selasa depan, Irfan mahu kemenangan ke atas Kedah terlebih dahulu berjaya diraih oleh anak buahnya dalam saingan Liga Super pada Jumaat ini.

Beliau enggan skuad Penyu berdepan kekalahan buat kali ketiga selepas tewas 1-2 kepada PKNP FC pada Sabtu lalu kerana khuatir situasi itu merentap semangat barisan pemain untuk harungi pusingan ketiga Shopee Piala FA menentang Kelantan United pula, minggu hadapan.

“Saya mahu pasukan menang terlebih dahulu ke atas Kedah, barulah fokus kepada aksi menentang Kelantan United.

“Ketika ini, saya sedang menjalani kursus lesen Pro dan ketiadaan saya tidak akan menjejaskan persiapan pemain kerana saya sentiasa berhubung dengan barisan jurulatih lain dalam merangka strategi terbaik berdepan Kedah nanti”, katanya.