Piala Malaysia Berita

[VIDEO] JDT jumpa Kelantan di suku akhir Piala Malaysia 2022

Johor Darul Ta’zim mara ke suku akhir Piala Malaysia selepas menewaskan PJ City 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim.

Ini bermakna, JDT akan bertemu Kelantan di suku akhir.

Kemenangan itu menyaksikan JDT meraih agregat 6-0, selepas menjaringkan 4-0 dalam perlawanan pertama.

JDT mendahului seawal minit ke-4 apabila rembatan jarak jauh Bergson di luar kotak penalti menerjah masuk ke gawang gol PJ City.

Fernando Foriesteri melengkapkan kemenangan apabila menjaringkan gol kedua pada minit ke-73.

Kelantan pula mara ke suku akhir selepas seri 1-1 dengan Sarawak United, sekali gus meraih kemenangan agregat 2-1 di Kota Bharu.

Nurshamil Abd Ghani menjaringkan gol pendahuluan pada minit ke-13 namun Sarawak menyamakan kedudukan pada minit ke-31 menerusi Raja Imran Shah Raja Amin.

Namun, Kelantan berjaya bertahan dalam tempoh separuh masa kedua, menjadikan kedudukan kekal hingga tamat perlawanan.

Dalam pada itu, Sabah akan bertemu Kuching City selepas masing-masing mara ke suku akhir.

Sabah menewaskan UiTM dengan agregat 3-2 selepas terikat 1-1 dalam perlawanan kedua.

Kuching pula meraih kemenangan dramatik ke atas Pulau Pinang dengan agregat 4-3 selepas mencatatkan kemenangan 2-1 dalam perlawanan kedua.

Pulau Pinang mendahului pada minit ke-22 menerusi Lucas Silva namun Kuching menyamakan kedudukan pada minit ke-62 menerusi Alif Hassan.

Kedudukan 1-1 dan agregat 3-3 kekal sehingga tamat 90 minit, memaksa perlawanan ke 30 minit masa tambahan.

Namun, ketika tempoh perlawanan tinggal dua minit sahaja lagi, Kuching meraih gol kemenangan hasil jaringan Wan Faiz Wan Sulaimann.

Keputusan 2-1 dan agregat 4-3 kekal hingga tamat perlawanan, menyaksikan Kuching mara ke suku akhir buat kali pertama dalam sejarah.