Luar Negara Berita

Jose Mourinho akui terdesak

Bekas pengurus Manchester United, Jose Mourinho jelas terdesak untuk kembali mengendalikan pasukan setelah dipecat dari United sejak Disember lalu.

Sebelum ini, beliau diberitakan menerima tawaran daripada kelab di Itali dan Perancis, tetapi masih gagal mendapat khabar gembira daripadanya.

“Tidak, kini saya mahukannya lebih lagi. Saya sudah tidak makan selama lima bulan. Saya sudah tidak makan bola selama lima bulan,” kata Mourinho yang pernah mengendalikan Real Madrid dan Chelsea.

“Saya terpaksa menderita kerana saya tidak memiliki bola sepak, kerana saya tidak melatih, kerana saya tidak bermain. Tetapi saya tidak berada di situasi apabila menonton perlawanan di televisyen, saya mahu memadamnya kerana saya tidak mahu melihat segala-galanya.

“Saya dapat mengawal penuh emosi saya. Tetapi ia adalah sebahagian daripada diri sayang yang penting dan jelas saya merinduinya.”

Beliau menjelaskan biarpun mengakui dahagakan aksi di tepi padang, tetapi beliau tidak mahu terburu-buru.

“Memenangi gelaran di lima liga berbeza atau memenangi Liga Juara-Juara untuk kelab ketiga adalah perkara yang saya mahu lakukan, tetapi saya tidak begitu berharap.

“Saya lebih mementingkan projek untuk diri saya. Saya mahu pergi dan gembira. Saya tidak mahu pergi dan meletakkan satu kaki di depan dan satu kaki di belakang.

“Saya jelas tenang. Jika tidak ketika ini, ia akan berlaku tidak lama lagi. Jika saya tidak dapat apa yang membuatkan saya gembira, saya tidak akan pergi. Saya fikir saya berhak untuk berfikiran seperti itu.” Katanya.