Liga Super Malaysia Berita

JDT harap Selangor pertimbang semula keputusan tarik diri

JDT meluahkan rasa kecewa dengan keputusan Selangor untuk tidak hadir ke perlawanan Liga Super Malaysia dan Piala Sumbangsih 2024 yang sepatutnya berlangsung esok.
Ini meskipun telah diberikan jaminan oleh Ketua Polis Negara dan Ketua Polis Johor bahawa keselamatan pasukan, pemain dan penyokong merupakan keutamaan dan pihak polis akan menggandakan kehadiran dengan 1,500 anggota.
“Kami sememangnya mengutuk keras insiden yang melibatkan Faisal Halim dan juga ancaman yang diterima oleh beberapa individu di Selangor,” kata CEO JDT, Alistair Edwards.
“Tetapi kami berharap agar Selangor dapat mempertimbangkan semula keputusan untuk tidak hadir dari perlawanan ini kerana ia boleh menetapkan ‘precedent’ untuk mana-mana pasukan menarik diri kerana berasakan tidak selamat meskipun mendapat jaminan daripada PDRM.”
Jelasnya, JDT pernah diserang di Pahang, Perak dan Kelantan sebelum ini tetapi mereka masih ke gelanggang lawan dan bermain dalam perlawanan yang dikawal ketat pihak polis.
“Selangor tidak pernah diserang di Stadium Sultan Ibrahim. Malahan pasukan dan penyokong mereka dikawal oleh polis ke dalam stadium dan sehingga ke bas dalam perlawanan-perlawanan sebelum ini.
“Meksipun kejadian baru-baru ini yang menimpa Akhyar Rashid, Faisal Halim dan Safiq Rahim membimbangkan, kita perlu meletakkan kepercayaan kepada pihak berkuasa bukan hanya untuk menyiasat kes-kes ini tetapi juga untuk menjaga keselamatan dan memastikan musim bola sepak 2024-25 berjalan lancar.”