Liga Super Malaysia Berita

Selangor enggan beraksi dalam Piala Sumbangsih 2024

Selangor membuat keputusan untuk tidak hadir ke Piala Sumbangsih 2024 yang sepatutnya berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor.
Keputusan itu dibuat susulan serangan asid ke atas pemain bintangnya, Faisal Halim beberapa hari lalu.
“Setelah penelitian dijalankan dan perbicangan terperinci dengan pelbagai pihak berikutan rentetan dari insiden jenayah serta ancaman yang baru berlaku melibatkan beberapa pemain dan pegawai pasukan dalam tempoh hanya 72 jam,” menurut kenyataan rasmi Selangor.
“Berdasarkan keadaan semasa yang tidak menentu, kami di Selangor menegaskan keselamatan pasukan adalah perkara paling utama dan kami memandang serius akan segala bentuk keganasan dan ancaman serta tidak akan berkompromi dengan sebarang isu berkaitan keselamatan pasukan. Segala kesulitan amat dikesali.”
Ini pertama kali Selangor enggan beraksi dalam perlawanan Piala Sumbangsih sejak ia diperkenalkan pada 1985.
Memandangkan perlawanan berdepan JDT merupakan salah satu perlawanan Liga Super, Selangor kemungkinan besar akan dikenakan denda dan kemenangan 3-0 akan diberikan kepada JDT.