Liga Super Malaysia Berita

Perak masih berdepan tunggakan gaji, Shahrul Saad dan De Paula hantar ‘transfer request’

CEO Perak, Rizal Ali Naizali mengesahkan kapten pasukan, Shahrul Saad dan penyerang pasukan, Guilherme de Paula telah pun menghantar surat rasmi mahu meninggalkan pasukan Liga Super itu musim ini.

Bagaimanapun, katanya, Perak masih belum menerima sebarang tawaran rasmi untuk menandatangani kedua-dua pemain utama itu, dengan hanya Selangor sahaja yang menunjukkan minat terhadap Shahrul.

“Memang kita sudah menerima surat permohonan rasmi daripada kedua-dua pemain ini yang mahu meninggalkan pasukan,” katanya kepada Sinar Harian.

“Cuma setakat ini tiada tawaran rasmi diterima daripada mana-mana pasukan.

“Setakat ini kita cuma terima panggilan daripada Selangor yang bertanyakan mengenai Shahrul namun tiada sebarang tawaran rasmi dikemukakan. Selain dari itu memang tak ada.”

Namun, Rizal berkata pihak pengurusan akan bertemu dengan Shahrul dan de Paula bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai keputusan mereka.

Pada masa sama, Rizal berkata Perak hanya berhutang sebulan gaji iaitu untuk bulan April, bukannya sehingga tiga bulan, dengan bayaran gaji bulan Mac baru sahaja dibuat minggu ini.

Walaubagaimanapun, tiga pemain import Perak, Careca, Leandro dan De Paula masih belum mendapat gaji masing-masing manakala beberapa pemain tempatan diberi saguhati RM10,000 seorang.

Beliau berjanji gaji bulan April akan dibayar sebelum Hari Raya Aidilfitri, 13 Mei depan.

“Saya ingin menjelaskan kekeliruan mengenai dakwaan pemain Perak tidak menerima tiga bulan gaji.

“Kita sudah bayar gaji bulan Mac dan akan memastikan tunggakan hanya sebulan.

“Tidak tahulah saya kebenaran berita ini kerana gaji pemain ini bukan kecil tetapi puluhan ribu.

“Jadi tidak logiklah kalau sampai nak jual motosikal.”