Liga Super Malaysia Berita

Pahang: Ejen Manuel Hidalgo adalah Lucas Cominelli, bukan Kiko Insa

CEO Pahang, Datuk Suffian Awang mengesahkan bahawa ejen yang membawa masuk penyerang baharu Manuel Hidalgo adalah Lucas Cominelli, bukannya Kiko Insa seperti yang didakwa sesetengah pihak di media sosial.

Malah, katanya, Cominelli merupakan bekas pemain Pahang pada musim 2004 dan mempunyai hubungan baik dengan Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman sejak dahulu.

Beliau juga bertanggungjawab membawa masuk Matias Conti dan Yamil Romero ke Pahang.

“Kehadiran Manuel Hidalgo ini tiada kaitan langsung dengan Kiko Insa,” katanya kepada Sukanz.

“Pemain berbakat ini diketahui oleh presiden iaitu Tengku Muda, Tengku Abdul Rahman yang mempunyai hubungan baik dengan ejen sebenar iaitu Lucas Cominelli daripada agensi 7ORO SPORTS.

“Dia yang memperkenalkan (Hidalgo) kepada Tengku sebelum saya memulakan perbincangan dengan pihak Lucas, dan akhirnya berjaya membawa dia masuk ke sini.”

“Isu Kiko ini tiada kena mengena langsung dengan perpindahan Manu ke sini sama ada sebagai ejen atau recommend pemain ini, sebabnya Manu sendiri tidak kenal langsung Kiko ini siapa, janganlah menjadi umpama lembu punya susu sapi dapat nama.”

Hidalgo menjadi perhatian peminat apabila beliau menjaringkan gol dalam penampilan pertamanya dengan Pahang ketika berdepan dengan Selangor.

Beliau mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Yevhen Bokhashvili, yang hanya menjaringkan satu gol selepas 11 perlawanan Liga Super musim ini.