Shahrul Saad dan Guilherme De Paula diumumkan sebagai pemain baharu JDT bagi saingan musim 2021.
Shahrul meninggalkan Perak selepas lima tahun bersama pasukannya, sejak menyertainya pada 2016 sebelum diberikan tanggungjawab sebagai kapten pasukan beberapa tahun kemudian.
De Paula baru sahaja menyertai Perak musim lalu dan sempat menjaringkan 7 gol termasuk jaringan musim ini.
Kedua-dua pemain itu menghantar permohonan rasmi untuk meninggalkan pasukan Perak, meskipun musim Liga Super masih belum berakhir.
Difahamkan, Shahrul dan De Paula berbuat demikian selepas Perak berdepan dengan masalah tunggakan gaji yang serius.
Shahrul dijangka menjadi pertahanan utama pasukan JDT, memandangkan Aidil Zafuan bakal menginjak ke usia 34 tahun pada bulan Ogos ini.
JDT dalam pengumuman rasminya memberi bayangan bahawa De Paula akan terlibat dengan skuad utama berbanding beraksi di JDTII atau dipinjamkan ke pasukan lain.
“De Paula dan Syafiq Ahmad merupakan ‘back-up’ kepada Bergson.
“De Paula adalah pemain tempatan. Maklumat dan informasi selanjutnya akan dikongsikan oleh Pengarah Teknikal dan Pengurus Pasukan dalam masa terdekat.”
Meskipun masih lagi berada di puncak liga, JDT membuat keputusan untuk berbelanja besar bagi mendapatkan dua pemain kebangsaan, dengan harapan dapat memburu kejuaraan Liga Super untuk kali ke-8 musim ini.