Liga Super Malaysia Berita

Selangor: 15 pemain kekal, 5 pemain Selangor 2 dibawa masuk

Seramai 15 pemain senior Selangor dikekalkan untuk menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.

Ini termasuk Brendan Gan, Syahmi Safari, Halim Saari, Khairulazhan Khalid, Wan Zack Haikal, Tauffiq Ar-rashid, A Namathevan, Ashmawi Yakin, Sean Selvaraj, Mukhairi Ajmal, K Sarkunan dan Rodney Celvin.

Untuk barisan import, Ifedayo Olusegun dan Safuwan Baharudin terus kekal bersama Red Giants manakala Sandro da Silva masih lagi dalam perbincangan.

Bukan itu sahaja, Selangor membawa masuk lima pemain muda dari Selangor 2.

Mereka terdiri daripada Aliff Haiqal Lau, Zikri Khalili dan Danial Asri yang sebelum ini disenaraikan dalam skuad Piala Malaysia diikuti kapten pasukan Selangor 2, Sharul Nazeem Zulphakar yang bermain di posisi pertahanan dan penjaga gol, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman.

Pengarah Teknikal Selangor, Michael Feichtenbeiner berkata, kemasukan lima pemain muda itu adalah bagi memberikan ketua jurulatih pasukan, Karsten Neitzel lebih banyak pilihan untuk kesebelasan utama.

“Pemain-pemain muda yang dinaikkan akan memberi tenaga dan kekuatan baru kepada pasukan utama,” katanya kepada Harian Metro.

“Mereka bakal bergandingan bersama pemain senior dan pada masa yang sama memperbaiki permainan mereka.

“Dengan adanya pemain baharu ini, Selangor akan terdiri daripada gabungan pemain muda dan berpengalaman.

“Saya yakin bahawa Selangor mempunyai pemain yang selaras dengan gaya bola sepak kami.”