Malaysia Berita

MFL beri peluang skuad Harimau Malaya berlatih bulan Januari

MFL beri peluang skuad Harimau Malaya berlatih bulan Januari

CEO MFL, Datuk Ab Ghani Hassan mencadangkan supaya ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe mengadakan kem latihan skuad kebangsaan pada awal tahun depan.

Ini berikutan skuad Harimau Malaya tidak berlatih selama setahun disebabkan penularan wabak COVID-19.

Namun, memandangkan Liga Malaysia hanya akan bermula pada 26 Feb, ia memberi ruang kepada skuad kebangsaan untuk mengadakan sesi latihan.

“Kita faham apa yang dilalui oleh skuad negara dan dipihak MFL akan cuba membantu dengan memberi masa yang lebih untuk mereka berlatih,” katanya kepada Harian Metro.

“Saya fikir bulan Januari adalah masa sesuai untuk mereka berlatih. Dah lama tak main hampir setahun, banyak aksi karat yang nak kena betulkan.

“Sebab itu kita lewatkan sikit liga pada hujung bulan Februari supaya selepas itu, pemain dapat berlatih dengan kelab masing-masing sebelum liga mula.”

Tambah Ghani, MFL juga memberikan tempoh untuk berlatih pada bulan Mac nanti.

“Kita juga ada beri masa seminggu lebih pada pertengahan Mac nanti iaitu sebelum Malaysia menentang UAE dalam kelayakan Piala Dunia.

“Itu yang boleh kita bantu kerana jadual liga juga perlu diteruskan. Tempoh berkenaan cukup buat pasukan negara dan pihak pengurusan skuad negara juga dah tahu mengenai hal ini.”

AFC masih belum mengeluarkan tarikh baharu, namun berdasarkan kalendar FIFA, pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 kemungkinan akan berlangsung pada hujung bulan Mac 2021.