Azri Ghani mengakui beliau membuat keputusan untuk menyertai Perak adalah bagi mendapatkan minit permainan.
Pemain berusia 21 tahun itu menjadi salah seorang penjaga gol yang diminati beberapa pasukan Liga Malaysia setelah menunjukkan prestasi yang memberangsangkan ketika beraksi dengan Kedah.
Namun, beliau hanya memperoleh minit permainan dalam tiga perlawanan terakhir selepas terpaksa bersaing dengan Ifwat Akmal Che Kassim dan Mohd Shahril Saa’ri sepanjang musim 2020.
Disebabkan itu, Azri membuat keputusan untuk menyertai Perak dengan kontrak selama tiga tahun dan berharap dapat meraih pengalaman berharga dalam jangka masa tersebut untuk menjadi salah seorang penjaga gol yang lebih berkualiti.
“Kenapa saya pilih pasukan Perak adalah kerana saya tengok Perak antara pasukan yang cukup kuat dalam Liga Malaysia yang mana pasukan itu juga setanding dengan pasukan seperti Kedah, JDT dan Selangor,” katanya.
“Kedah memang satu pasukan hebat, tetapi saya akui saya kurang mendapat minit permainan dan persaingan terlalu sengit untuk saya berada dalam skuad utama, hanya pada penghujung musim sahaja baru saya berpeluang untuk beraksi.
“Sama seperti musim lalu ketika saya bersama Felda United apabila saya juga kurang beraksi dan saya tidak mahu ia terus berulang lagi pada setiap musim akan datang.
“Sebab itu, saya rasa inilah masa yang tepat untuk saya mencuba aura baharu bersama Perak pada tahun depan, dan akan bekerja keras mengembangkan lagi potensi saya selain ingin bantu Perak harungi Liga Super dengan lebih cemerlang.”
Pemain yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu bagaimanapun mengucapkan terima kasih kepada pasukan Kedah setelah menamatkan musim 2020 sebagai naib juara Liga Super dan layak beraksi di Piala AFC 2021.
Azri mula mencipta nama selepas beraksi cemerlang bersama skuad kebangsaan B-19 apabila membantu pasukannya muncul juara pada Kejohanan B-19 AFF 2018 buat pertama kali dalam sejarah.
Beliau menyertai Felda United pada 2018 sebelum menyertai Kedah pada musim 2020.