Malaysia Berita

Piala Asia 2023: FAM tawar tiket kombo RM100, tonton semua perlawanan Harimau Malaya

Penyokong Malaysia kini berpeluang untuk hadir menonton enam perlawanan termasuk tiga perlawanan melibatkan skuad kebangsaan di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan hanya membeli tiket kombo berharga RM100.

Ini sempena pusingan akhir kelayakan Piala Asia 2023 bagi Kumpulan E berlangsung pada bulan depan, apabila Malaysia akan bertemu Turkmenistan pada 8 Jun, Bahrain pada 11 Jun dan Bangladesh pada 14 Jun.

Tiga lagi perlawanan adalah Bahrain lawan Bangladesh, Bangladesh lawan Turkmenistan dan Bahrain dan Turkmenistan.

“FAM berprihatin terhadap penyokong yang merancang ke stadium untuk ketiga-tiga hari perlawanan bagi saingan kelayakan Kumpulan E ini,” kata Naib Presiden FAM, Datuk Posa Majais selaku Pengerusi Jawatankuasa Tiket dan Stadium FAM dalam kenyataan.

“Sebagai tanda penghargaan daripada FAM, kita memperkenalkan Tiket Kombo RM100 ini supaya ia dapat memudahkan mereka (penyokong), selain memberikan sedikit penjimatan dari segi harga.

“Bagaimanapun, tawaran ini hanya akan dibuka penjualannya untuk tempoh selama dua minggu sahaja iaitu bermula Isnin depan, 16 Mei 2022 sehingga Ahad, 29 Mei 2022 secara pembelian dalam talian di www.tickethotline.com.my.”

Katanya, selepas berakhir tempoh tersebut, penjualan akan tetap diteruskan sehingga hari perlawanan dengan tiket dijual secara berasingan iaitu berharga RM40 bagi setiap hari perlawanan.

“Sebagai contoh, untuk perlawanan pada 8 Jun 2022, penyokong boleh menonton dua perlawanan iaitu Bahrain lwn Bangladesh pada sebelah petang dan Turkmenistan lwn Malaysia pada sebelah malam, dengan pembelian satu tiket pada hari perlawanan tersebut.

“Jadi kepada penyokong yang merancang ke stadium untuk ketiga-tiga perlawanan, tidak perlu membeli tiket RM40 secara berasingan sebanyak tiga kali yang harganya akan berjumlah RM120, sebaliknya lebih mudah dan jimat jika anda membeli saja tiket kombo ini.”

Selain itu, FAM turut memperuntukkan penjualan sebahagian tiket untuk kategori tempat duduk Grandstand yang berharga RM60 untuk setiap hari perlawanan.

Tiket kanak-kanak pula berharga RM7 untuk 1 Hari Perlawanan iaitu bagi yang membawa anak berusia 6 hingga 12 tahun.

Setiap penyokong boleh membeli maksimum sebanyak 5 tiket dan setiap pembelian kesemua jenis kategori tiket di atas akan dikenakan tambahan caj pemprosesan dan caj bank, masing-masing mengikut kadar yang telah ditetapkan.

Promosi tiket kombo ini hanya untuk tiket kategori tempat duduk terbuka sahaja dan bagi tiket kategori tempat duduk Grandstand, tiada penjualan secara kombo.

Selain penjualan tiket kombo, penjualan tiket RM40 dan tiket Grandstand RM60 turut akan bermula pada 16 Mei 2022 sehingga ke hari perlawanan.

Sementara itu, harga tiket bagi dua perlawanan iaitu Malaysia bertemu Myanmar pada Jumaat, 27 Mei 2022 dan Malaysia bertemu Hong Kong pada Rabu, 1 Jun 2022 yang akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil telah ditetapkan RM30 dewasa dan RM7 kanak-kanak (6 hingga 12 tahun) bagi setiap perlawanan, tidak termasuk tambahan caj pemprosesan dan caj bank.

Tiada tiket kategori Grandstand bagi kedua-dua perlawanan ini.

Penjualan tiket perlawanan menentang Myanmar dan Hong Kong ini turut akan dibuka mulai 16 Mei 2022 dan sama juga syaratnya, maksimum 5 tiket bagi setiap pembelian.”

Kesemua tiket bagi perlawanan kelayakan Piala Asia 2023 dan dua perlawanan persahabatan bertemu Myanmar dan Hong Kong hanya akan dijual secara dalam talian di www.tickethotline.com.my dan tiada sebarang penjualan tiket secara fizikal di kaunter tiket stadium.