Liga Super Malaysia

Alfredo tiba-tiba demam, Zahasmi kembali mengendalikan pasukan Kelantan

Kelantan kembali memberikan kepercayaan kepada ketua jurulatih, Zahasmi Ismail untuk mengendalikan pasukan tersebut pada aksi peringkat Kumpulan C kempen Piala Malaysia 2017 menentang Kedah di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam ini.

Pengarah teknikal skuad The Red Warriors (TRW), Alfredo Gonzales terpaksa direhatkan kerana demam teruk selepas skuad kendaliannya tumpas tiga kali berturut-turut dalam tempoh seminggu.  Zahasmi mengakui Kelantan bakal berdepan tugas sukar pada perlawanan itu nanti memandangkan Kedah kini berada pada prestasi terbaik ketika ini.

Mereka tidak mempunyai pilihan kecuali bangkit meraih kemenangan setelah tewas tiga perlawanan berturut-turut termasuk dalam saingan Liga Super. Hanya kemenangan sahaja yang akan mengembalikan semula keyakinan para pemain dan penyokong selain menjamin kedudukan terbaik dalam saingan Piala Malaysia musim ini.

“Walaupun tugas sukar, namun kita tidak boleh memberikan laluan mudah kepada Kedah.”

“Jadi, saya berharap agar para pemain dapat memberikan aksi terbaik pada perlawanan itu nanti,” kata Zahasmi kepada Kosmo! di Kota Bharu semalam.

Zahasmi memberitahu, walaupun kehilangan khidmat kapten pasukan, Mohd. Badhri Radzi dan Khairul Fahmi Che Mat yang mengalami kecederaan, namun beliau tetap optimis mampu menyediakan pasukan terkuat berdepan Kedah.

Beliau berharap agar para pemain yang diturunkan nanti mampu mendapatkan sekurang-kurangnya satu mata.

“Satu mata itu amat penting buat Kelantan sebagai tonik untuk mengharungi baki saingan Piala Malaysia musim ini,” ujarnya.

Zahasmi turut berharap barisan pemain TRW tidak memberikan laluan mudah kepada Kedah.

Katanya, walaupun Kedah sebuah pasukan yang kuat itu bukan alasan buat para untuk tidak memberikan persembahan terbaik.

“Saya percaya pemain Kelantan mampu bangkit daripada aksi tidak konsisten ketika ini untuk mendapatkan semula rentak sebenar,” katanya.

sumber: kosmo