Bekas jurulatih Johor DT, Mario Gomez dikatakan mungkin bersedia untuk kembali ke Malaysia, hampir setahun selepas meninggalkan kelab Southern Tigers itu.
Pada mulanya, Gomez diumumkan sebagai jurulatih kebangsaan yang baru untuk Malaysia, selepas Tunku Ismail ibni Sultan Ismail mengambil alih sebagai presiden baru FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia). Namun, perlantikkan tersebut ditarik balik selepas Gomez dilaporkan meminta gaji yang lebih tinggi daripada persetujuan asal.
Sekarang, Gomez telah berhubung dengan beberapa kelab di Malaysia, dan dikatakan bersedia untuk pulang ke Liga-M untuk projek kejurulatihan seterusnya buat karier beliau. Mengikut laporan mStar, Felda United dan PKNS FC adalah dua pasukan yang sedang mempertimbangkan kemungkinan ini.
“Setakat ini Gomez menarik perhatian PKNS dan Felda tetapi tidak ada lagi perbincangan serius daripada kedua-dua pasukan,” kata seorang sumber kepada mStar.
Berita ini turut diperkuatkan apabila laman Facebook rasmi PKNS FC memuat naik tangkapan skrin berita tersebut dengan kapsyen: “Gomez dalam radar PKNS FC?”
Di bawah kendalian Mario Gomez, Johor DT berjaya meraih dua kejuaraan Liga Super pada tahun 2015 dan 2016. Gomez juga memainkan peranan yang cukup besar dalam kejayaan Johor DT memenangi Piala AFC pada tahun 2015, sekaligus mencipta sejarah untuk bolasepak Malaysia.