Malaysia akan turun berdepan Hong Kong tanpa pemain pertahanan Kedah, Rizal Ghazali, yang telah digantung untuk satu perlawanan. Namun buat Matt Davies, situasi ini akan memberi peluang untuk dia membuktikan kemampuannya kepada Nelo Vingada.
Sejak Vingada mengambil alih skuad kebangsaan pada bulan Jun lalu, Davies masih belum membuat penampilan untuk Malaysia. Dia diberi call-up untuk perlawanan menentang Lubnan pada bulan Jun, tetapi terpaksa duduk di bangku simpanan, atas sebab kecederaan.
Pada bulan September pula, Davies tidak dimasukkan dalam skuad Malaysia yang bertemu dengan Hong Kong di Stadium Hang Jebat, kerana dia menjadi salah satu tonggak utama dalam pasukan Malaysia U-23 yang mara ke final Sukan SEA pada penghujung bulan Ogos.
Jadi, apabila Malaysia turun bertemu dengan Hong Kong pada Selasa depan, Matt Davies kemungkinan besar akan dapat membuat penampilan pertamanya di bawah Nelo Vingada.
“Saya dipanggil Vingada ketika aksi menentang Lubnan (Jun) tetapi saya cedera dan tidak dapat bermain,” kata Davies, 22, yang kali terakhir mewakili skuad senior negara pada Mac lalu,” ujar Davies kepada Arena Metro.
“Beliau banyak merubah skuad dan saya difahamkan pemain gembira apabila dipanggil menjalani latihan pusat dan kami juga tidak sabar untuk bermain di bawah kendaliannya.
“Persiapan kami berjalan baik dan penggantungan serta kecederaan adalah perkara biasa di dalam bola sepak. Kami cukup profesional untuk berdepan perkara sebegini,” tambah Davies.