Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa pihatin dan bimbang susulan kejadian terbaru berunsur keganasan membabitkan pemain Selangor, Faisal Halim
Baginda selaku Penaung Selangor bersama Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah sebagai Pengerusi Selangor, mengecam sekeras-kerasnya serangan tidak bermoral ini.
“Baginda mahu pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat kejadian ini ke akar umbi serta mencari punca sehingga pelakunya dapat ditangkap dengan segera.
“Baginda turut menggesa mana-mana pihak yang mempunyai maklumat untuk tampil memberi kerjasama dengan pihak polis,” menurut kenyataan dari Istana Alam Shah.
Titah baginda, baginda mahu siasatan turut merangkumi kemungkinan sekiranya ada melibatkan kegiatan kumpulan yang berniat jahat atau keingkaran awam seperti samseng bola sepak atau hooliganisme.
“Baginda amat kecewa dan menganggap kejadian seumpama ini sebagai melampau kerana melibatkan nyawa ahli-ahli sukan.
“Baginda khuatir jika insiden seperti ini tidak dibanteras segera, ia akan terus melarat sehingga boleh mengundang perkara lebih buruk pada masa akan datang.
“Baginda mendoakan agar Faisal Halim kembali sihat seperti sediakala dan dapat meneruskan khidmat sebagai pemain Selangor.”