Liga Super Malaysia Berita

Piala Sumbangsih 2021: Mora enggan JDT dibuai kejayaan lalu, Aidil mahu Kedah beri tentangan

Jurulatih Johor Darul Ta’zim FC (JDT), Benjamin Mora tanpa berselindung mengakui beliau lebih berminat menamatkan permainan dalam tempoh 90 minit berbanding bermain dalam penentuan sepakan penalti menjelang aksi perlawanan sumbangsih Piala Sultan Haji Ahmad Shah bertemu Kedah Darul Aman FC (KDA) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam ini.

Tampil selaku juara bertahan, skuad Harimau Selatan diangkat sebagai pasukan pilihan berbanding KDA untuk aksi pertama Liga Malaysia bagi musim 2021.

Bagaimanapun, Mora menegaskan beliau tidak mahu melihat pencapaian lalu dijadikan sebagai pengukur kejayaan ketika bertemu KDA di mana pengendali kelahiran Mexico itu kekal fokus untuk menamatkan permainan dalam tempoh 90 minit.

“Saya tidak sukakan penalti. Jika boleh kami mahu menamatkan permainan dalam tempoh 90 minit.

“Kami fokus dengan persiapan kami di mana saya tidak mahu melihat kejayaan lalu (juara bertahan piala sumbangsih) ini menjadikan kami sebagai pasukan pilihan.

“Kejayaan lalu tidak akan menjadikan kelebihan buat kami tetapi kami akan berusaha untuk mencatatkan keputusan positif malam esok,” katanya pada sidang akhbar pra perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim.

Sementara itu, jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak mengakui pertemuan menentang juara tujuh kali terturut-turut Liga Super itu bukan satu yang mudah apatah lagi bermain di kubu kuat JDT.

Namun Aidil memberitahu pasukannya telah bersiap sedia menghadapi aksi getir itu selain menyifatkan pertemuan JDT bakal menjadi satu perlawanan menarik untuk penyokong-penyokong bola sepak tempatan.

“Satu perlawanan yang agak sukar tetapi kami telah bersedia.

“Penting untuk saya sebagai jurulatih memberi motivasi dan semangat kepada pemain-pemain di mana kita tahu apabila kita menentang pasukan terbaik, kita juga kena menjadi pasukan yang cukup baik untuk memberi tentangan.

“Itulah yang mustahak di mana KDA mahu fokus kepada perlawanan penting ini tetapi seperti saya katakan tadi, kami telah bersedia dan berusaha untuk mencatatkan keputusan positif pada malam esok.”