Pengerusi Sri Pahang FC, Raja Datuk Shaharuddin Shah Raja Jalil Shah mengesahkan pihaknya menyasarkan untuk menang sekurang-kurangnya satu piala dalam saingan Liga Malaysia musim ini.
Ini meskipun Pahang tidak lagi sekuat seperti musim-musim lalu selepas kehilangan beberapa tonggak utama seperti Matthew Davies, Mohamadou Sumareh dan Nik Sharif Haseefy.
Malah, Azam Azih satu-satunya pemain kebangsaan dalam pasukan Pahang pada musim ini.
Bagaimanapun, Shaharuddin percaya Pahang boleh menampilkan prestasi lebih baik berbanding musim lepas.
“Misi pasukan ialah untuk meningkat dan mempamerkan prestasi terbaik berbanding musim lalu,” katanya kepada Harian Metro.
“Sasaran sekurang-kurangnya satu piala yang dipertandingkan musim ini menjadi milik Sri Pahang.
“Sehubungan itu, dengan kerjasama semua pihak dalam Sri Pahang, barisan kejurulatihan dan pemain, misi itu akan tercapai.”
Musim ini, Pahang dibarisi dua pemain pertahanan dari Perancis iaitu Herold Goulon dan Mamadou Wague, seorang pemain tengah iaitu Lee Tuck, dan dua pemain baharu di bahagian serangan iaitu Yevhen Bokhashvili dari Ukraine dan Pedro Henrique dari Timor Leste.
Ini merupakan kali pertama Bokhashvili beraksi di Liga Malaysia manakala Pedro pernah beraksi di PKNS pada 2015 dan PJ City pada 2019.
Pahang di bawah kendalian Thomas Dooley turut menyenaraikan dua penolong ketua jurulatih, Ahmad Yusof dan Christophe Gamel manakala Ahmad Shaharuddin Rosdi dan Sharulnizam Sahat bertindak selaku penolong jurulatih.
Pahang menamatkan saingan Liga Super di tangga ke-8 musim lalu.