Piala FA Malaysia Berita

Shopee Piala FA : Penyu mahu benam Tok Gajah di laman sendiri

Terengganu FC (TFC) berjaya mencatat kemenangan, 2-1 ke atas Pahang pada perlawanan pertama suku akhir Piala FA di laman sendiri minggu lalu.

Kemenangan ini memberi bekalan selesa buat anak buah Irfan Bakti Abu Salim menjelang perlawanan suku akhir kedua Piala FA, Jumaat ini di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Gol yang diciptakan oleh Malik Mat Ariff dan Kipre Tchetche pada perlawanan pertama tempoh hari perlu digunakan sebaik mungkin oleh TFC bagi mempertahankan kedudukan mereka yang selesa dengan kelebihan satu gol.

Bermain dihadapan penyokong lawan nyata memberi cabaran buat para pemain TFC untuk beraksi lebih baik bagi melayakkan diri mereka ke peringkat separuh akhir Piala FA nanti.

Justeru, bagi pemain tengah TFC, Thierry Chanta Bin yakin bahawa rakan sepasukannya mampu untuk mengejutkan Pahang dan menambah luka skuad Tok Gajah di hadapan penyokong sendiri.

Bagi beliau, rekod musim lalu, di mana skuad Penyu berjaya menundukkan Tok Gajah di Stadium Darul Makmur adalah sumber kekuatan buat beliau bagi mengingatkan rakan sepasukannya bahawa Gajah boleh tumbang di laman sendiri.

“Musim lalu kita pernah tundukkan Pahang 1-0 di laman mereka, selain itu prestasi terkini pasukan yang kian meningkat bakal menjadi ‘senjata’ utama buat kami untuk menewaskan pasukan itu pada aksi kedua Jumaat ini.

“Saya begitu teruja bertemu pasukan itu kerana ia perlawanan setempat yang besar bagi kami, malah kami juga mempunyai dendam kekalahan 0-3 pada aksi Liga Super Februari lalu yang masih lagi segar dalam ingatan,” kata pemain berusia 28 tahun itu.

Ketika ditanya adakah TFC mampu mempertahankan kelebihan gol.

“Impian kami adalah untuk layak ke separuh akhir dan seterusnya mara ke perlawanan akhir, walau dalam keadaan apa sekali pun kami perlu bermain habis-habisan ibarat tentera berjuang di medan peperangan.

“Saya yakin dengan strategi barisan jurulatih, sudah pasti mereka akan merencanakan taktikal terbaik untuk menundukkan pasukan itu dan bukannya bermain secara bertahan sebaliknya perlu mengamalkan corak menyerang.

“Lagipun kami tiada tekanan berbanding lawan, bagaimanapun kami akui perlawanan itu nanti tetap sukar apatah beraksi di laman mereka yang dibantu sokongan padu peminat setianya,” katanya.