Liga Super Malaysia Berita

Walaupun Liga Malaysia masih ditanggguhkan, PJ City akui tiada masalah gaji

Pengurus pasukan PJ City FC, K Rajendran mengakui kelab itu tidak berdepan dengan masalah gaji pemain walaupun Liga Malaysia masih lagi ditunda.

Katanya, pemotongan gaji pemain turut dibuat, tetapi atas persetujuan semua pemain.

“Walaupun tiada perlawanan tetapi semua pemain dan pegawai pasukan PJ City sudah dibayar gaji termasuk bulan lalu,” katanya kepada BH Sukan.

“Soal pemotongan gaji pemain memang ada dilakukan tetapi ia lebih kepada tolak ansur antara majikan dan pekerja. Kadar pemotongan gaji yang dibuat juga atas persetujuan bersama dan bukannya dibuat secara paksaan.

“Dalam hal ini, kita mengambil kira saranan dan garis panduan yang disediakan oleh FAM dan setakat ini tiada masalah berbangkit.”

Rajendran turut menjelaskan, PJ City sentiasa mengutamakan kebajikan pemain.

“Ini memperlihatkan pengurusan kelab kami sentiasa mengutamakan kepentingan dan kebajikan pemain. Masalah ini dihadapi semua pasukan dalam Liga M bukan PJ City sahaja.”