Liga Super Malaysia Berita

Presiden AFC kagum dengan bola sepak Malaysia, JDT dan KL City tahun ini

Presiden AFC, Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa mengakui kagum dengan perkembangan bola sepak Malaysia pada tahun ini.

Perasaan itu diluahkannya kepada Presiden FAM, Datuk Hamidin Amin ketika mengadakan pertemuan rasmi di Wisma FAM semalam.

“Pasukan kebangsaan Malaysia akan bersaing dalam Piala Asia 2023 selepas lama menanti dan ini dialu-alukan semua rakyat Malaysia yang meminati bola sepak,” kata Sheikh Salman seperti dilaporkan NST.

“Peminat juga boleh berbangga dengan JDT selepas mereka mara ke Pusingan 16 ACL, dan sudah tentu. Kuala Lumpur City yang mara ke final Piala AFC pada 2022.”

Sehubungan itu, beliau menghargai usaha yang dilakukan FAM dalam meningkatkan mutu bola sepak negara.

“Di bawah kepimpinan Hamidin, FAM telah melabur dan hasilnya cukup mengagumkan, jelas menunjukkan visi AFC untuk membangunkan sukan melalui ahlinya.

“FAM adalah salah satu ahli terkemuka kami dan kami menghargai kerjasama ini, yang menyaksikan FAM memanfaatkan banyak faedah yang disediakan oleh AFC melalui pembiayaan dan program pembangunan AFC.”

Minggu lalu, sebuah Stadium AFC diumumkan dalam majlis pecah tanah di Putrajaya.

Terletak kira-kira 30km dari ibu pejabat AFC di Bukit Jalil, stadium AFC di Putrajaya akan dibina di atas tapak tanah seluas 15.43 ekar, dilengkapi sepenuhnya dengan grandstand, boulevard dan atrium penonton, pejabat pentadbiran, dan tempat letak kereta bawah tanah.