Futsal Berita

Bagaimana pula dengan nasib Liga Futsal?

Soal jadual baharu Liga Malaysia baik Liga Super dan Liga Perdana sudah ditangani oleh MFL. Tapi bagaimana pula dengan Liga Futsal?

Liga Futsal juga terpaksa ditangguhkan apabila PKP dilaksanakan ekoran penularan wabak COVID-19.

Namun sehingga ke hari ini, masih belum ada sebarang keputusan yang dibuat sama ada ia akan diteruskan ataupun tidak.

Ketua jurulatih pasukan futsal Terengganu, Mohd Rozairi Ahmad mengakui beliau sendiri pun tidak tahu-menahu mengenai perancangan Liga Futsal pada masa akan datang.

“Setakat ini kami belum mendapat sebarang maklumat daripada badan induk bola sepak negara sama ada liga futsal musim ini akan disambung semula ataupun terpaksa dibatalkan,” katanya kepada BH Sukan.

“Daripada persatuan negeri pun setakat ini kami belum menerima apa-apa lagi info terkini, tapi saya difahamkan FAM ada mengeluarkan kenyataan perlu menunggu keputusan mesyuarat Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada Jun ini.

“Walau apapun keputusan daripada FAM, kami tetap reda dan setia menanti kerana sudah pasti pihak berkenaan tidak akan membuat keputusan terburu-buru berhubung perkara itu sebaliknya akan memperhalusinya memandangkan negara berdepan dengan Covid-19.

“Besar harapan kami agar liga futsal dapat disambung semula.”