Malaysia Berita

Misi layak Piala Dunia B-17: Anak buah Lim Teong Kim perlu contohi skuad Sukan Asia

Kejutan skuad bawah 23 (B-23) tahun negara menundukkan Korea Selatan pada aksi kumpulan Sukan Asia perlu dijadikan sebagai pemangkin untuk beraksi dengan lebih baik bagi melayakkan diri ke Piala Dunia B-17 menerusi Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di Kuala Lumpur bermula 20 September ini.

Perkara itu disuarakan oleh pengurus pasukan, Datuk S. Sivasundram yang menyifatkan persembahan pasukan kebangsaan B-23 jelas menunjukkan tidak mustahil untuk pergi lebih jauh dengan menewaskan negara-negara yang berstatus gergasi bola sepak dunia.

Jelasnya, skuad B-16 yang dibimbing Lim Teong Kim sejak empat tahun lalu itu kini sudah bersedia untuk mencipta sejarah baharu dengan membawa Malaysia ke pentas Piala Dunia B-17 buat pertama kalinya tahun depan.

“Saya sering katakan kepada pemain supaya mencontohi sikap dan disiplin tinggi abang-abang mereka di Sukan Asia baru-baru ini.

“Malah, kemenangan mereka juga mengingatkan saya kepada kejayaan skuad Olimpik 1980 yang berjaya menewaskan Korea Selatan 2-1, kejayaan-kejayaan ini adalah untuk pasukan B-16 tahun ambil semangat itu dan bawanya ke kejohanan AFC nanti,” katanya kepada Berita Harian.

Dalam saingan AFC B-16 itu nanti, Malaysia berada di Kumpulan A bersama Jepun, Thailand dan Tajikistan dengan juara dan naib juara setiap kumpulan akan layak ke suku akhir kejohanan.

Untuk layak ke Piala Dunia, Malaysia perlu menjadi empat pasukan terbaik dan ini bermakna skuad negara perlu mara ke separuh akhir.

Biarpun sukar, Sivasundram yakin Malaysia mampu cipta kejutan.

“Untuk layak ke Piala Dunia, pasukan perlu mara hingga ke separuh akhir dan berdasarkan persiapan rapi saya percaya ia mampu dicapai.

“Walaupun saingan AFF B-16 pada awal bulan ini kita menamatkan kedudukan di tangga ketiga, tapi perlu diketahui kita cuma hantar pasukan kedua dan bukannya skuad utama,” katanya.