Malaysia Berita

FAM dan Tan Cheng Hoe tak pernah hubungi saya-Mohamadou Sumareh

Meskipun pemain naturalisasi, Mohamadou Sumareh tidak terpilih untuk beraksi bersama skuad kebangsaan, beliau tidak terlalu kecewa dengan keputusan jurulatih Tan Cheng Hoe.

Sedangkan, Sumareh dijangka beraksi untuk pasukan kebangsaan selepas mendapat kerakyatan pada April yang lalu malah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terbuka untuk menerima pemain naturalisasi menyarung jersi kebangsaan.

Bagaimanapun bagi Sumareh, beliau tidak terlalu memikirkan mengenai keputusan Cheng Hoe itu sebaliknya hanya fokus membantu Pahang dalam kempen Piala Malaysia.

“Saya tidak kecewa tak dipanggil. Saya menghormati keputusannya, sudah pasti beliau ada alasan tersendiri. Saya tidak menunggu untuk dipanggil dan memikirkan perkara ini kerana apa yang penting, saya mahu terus bermain dan membantu Pahang dalam saingan Piala Malaysia.

“Saya juga tidak tahu status sebenar saya untuk bermain bersama skuad kebangsaan kerana tidak pernah dihubungi FAM atau jurulatih Tan Cheng Hoe sebelum ini, jadi saya tidak boleh memberi komen. Apa yang saya tahu hanya daripada laporan media dan komen penyokong di media sosial,” katanya kepada Berita Harian.

Bagaimanapun, Sumareh masih boleh merebut tempat skuad Piala AFF kerana selepas Taiwan dan Kemboja, Harimau Malaya akan bertemu Sri Lanka di Colombo pada 12 Oktober, Kyrgyzstan di Stadium Hang Jebat (16 Oktober) dan Maldives di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 3 November.

Namun begitu, Sumareh berharap beliau dipandang sebagai pemain berkualiti dan konsisten dan bukannya kerana beliau seorang pemain naturalisasi semata-mata.

“Biar saya dipanggil atas prestasi bukan hanya semata-mata status saya sebagai pemain naturalisasi. Saya hanya perlu fokus untuk meningkatkan prestasi bersama Pahang dan biar mereka yang menilai sama ada saya layak atau tidak,” katanya.