Malaysia Berita

Shahrel Fikri homesick? Ini nasihat Abu Bakar Fadzim

Nampaknya Shahrel Fikri Md Fauzi sudah menunjukkan rasa rindunya kepada kampung halamannya selepas hampir dua bulan beraksi dengan Nakhon Ratchasima di Liga Divisyen Satu Thailand.

Shahrel memuat naik statusnya di akaun Twitter miliknya dan berkongsi perasaannya apabila sentiasa keseorangan sepanjang berada di negara jiran itu.

Perkongsiannya itu menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan peminat dan ada yang mula bimbang sindrom balik awal yang pernah berlaku kepada beberapa pemain tempatan seperti Nazmi Faiz Mansor di Liga Portugal dan Wan Zack Haikal serta Nazirul Naim Che Hashim yang beraksi di Liga Jepun.

Namun jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim berkata, Shahrel tiada pilihan selain mengharungi kehidupan di sana demi meningkatkan tahap kualiti permainan serta menimba pengalaman bermain bola sepak di luar negara.

“Dua minggu lalu kebetulan dia cuti dan balik ke Ipoh. Kami sempat berjumpa dengan dia dan turut berlatih bersama kami.

“Dia ada menceritakan kehidupannya di Bangkok, termasuk tinggal seorang diri di rumah sewa yang disediakan kelab. Biasalah kadang-kadang bila kita duduk sendirian, akan mula timbul rasa rindu kepada keluarga dan sebagainya.

“Namun saya menasihatkannya supaya jangan terlalu memikirkan mengenai perkara itu, sebaliknya kekal fokus demi cita-cita dan kejar impian untuk menjadi pemain terbaik.

“Saya kenal dia sudah lama. Dia takkan balik awal selagi tugas dan misinya belum selesai,” katanya kepada Berita Harian.

Shahrel terpilih untuk menjalani latihan pusat bersama skuad kebangsaan bermula Isnin ini sebagai persediaan menghadapi dua aksi persahabatan bertemu Taiwan dan Kemboja pada 7 dan 10 September depan.