Piala Malaysia Berita

B Sathianathan: Rumput tiruan menyusahkan Felda United, rekod ‘away games’ lebih baik

Selasa lalu, Felda United kalah mengejut ditangan PKNS FC 1-0 di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka hasil jaringan tunggal Mahali Jasuli.

Ketua jurulatih Felda United, B Sathianathan meluahkan rasa tidak puas hatinya mengenai beberapa pemain yang tidak mengikuti arahannya sejurus tamat perlawanan tersebut.

Walaubagaimanapun, bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan tersebut tidak mendedahkan nama pemain-pemain tersebut secara terbuka, namun beliau menegaskan pemain tersebut bakal tidak bermain untuk baki aksi Piala Malaysia 2018.

“Ada (pemain) yang ingat mereka lagi terrer (bagus) dari jurulatih, saya tidak kira siapa dia… selepas ini saya tidak akan menurunkan mereka termasuk di bangku di simpanan pun tiada.”

“Saya tidak takut letak pemain muda, saya sudah menurunkan Muhammad Zahril (Azri Zabri) yang dibawa dari pasukan bawah 19 tahun dan menunjukkan prestasi cemerlang.”

“Saya ada lima lagi (pemain muda) yang boleh ganti mereka (pemain utama),” katanya lagi.

B Sathianathan juga kecewa dengan pemainnya yang mensia-siakan peluang dan gagal memanfaatkan bermain di halaman sendiri walaupun bermain dengan penuh semangat.

“Ada benda yang patut kita buat tetapi tidak buat, peluang menjaringkan gol disia-siakan… semangat ada tetapi kita tidak bermain dengan baik,”

Beliau yang juga Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) turut memberikan komen mengenai padang di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka yang turut mengganggu prestasi anak buahnya.

“Saya hendak berterus terang bermain di padang macam ini (rumput tiruan) memang menyusahkan kita, walaupun di sini adalah ‘home’ kita namun rekod kita bermain di luar lebih baik.  

“Walaupun kita berlatih di rumput tiruan tetapi rumput tiruan di tempat lain adalah berlainan… pemain kita seolah-olah takut bermain di tempat sendiri,” katanya.