Futsal Berita

SMGB penaja utama Pahang Rangers

Kelab Futsal Pahang Rangers mengumumkan SMGB Group sebagai penaja utama pasukan bermula musim Liga Futsal 2021.

Presiden Pahang Rangers, Tengku Fahd Mua’adzam Shah berterima kasih di atas sokongan ditunjukkan oleh SMGB Group dan berharap ia menjadi suntikan buat pasukannya terus mengorak langkah besar dalam arena futsal tanah air.

“Ini adalah satu lagi peristiwa penting buat Pahang Rangers selepas terdahulu memeterai kerjasama bersama UD Levante dan Chonburi Bluewave pada 2020,” kata beliau.

“Kehadiran SMGB ke dalam keluarga Pahang Rangers amat kita alu-alukan, semoga kerjasama ini memberi satu tonik dan suntikan kepada pasukan, seterusnya memacu kita terus bergerak ke depan dan bergandingan mencipta pelbagai sejarah baru dalam arena futsal.

Perjanjian antara Pahang Rangers dan SMGB Group yang merupakan syarikat berasaskan penerokaan dan perlombongan mineral dimeterai dalam satu majlis ringkas pada minggu lalu.

Pada majlis tersebut, Pahang Rangers diwakili oleh Tengku Fahd manakala SMGB Group diwakili CEO syarikat, Datuk Lee Chung Han.

Turut hadir Pengerusi SMGB, Tunku Mohamed Alauddin Naquiyuddin; Naib Presiden Pahang Rangers, Tengku Datuk Aidy Ahmad Shah; serta barisan ahli lembaga pengarah kedua-dua pihak.

Menerusi kerjasama tersebut, SMGB Group bukan sahaja menghulurkan tajaan berbentuk wang tunai untuk memperkasa pasukan Pahang Rangers.

Kedua-dua pihak akan turut terlibat di dalam menganjurkan klinik, akademi mahupun program-program khusus untuk mencungkil dan mengetengahkan bakat-bakat baru futsal terutama dari kalangan masyarakat orang asli di Lanchang.

Malah kedua-dua pihak akan terlibat dalam menyokong konservasi gajah di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan di Kuala Gandah sebagai satu daripada program tanggungjawab sosial korporat syarikat.

Selain penerokaan dan perlombongan mineral, SMGB Group juga terlibat dalam pertanian secara bio dinamik dan organik, pemuliharaan hutan serta pemeliharaan hidupan liar, pembangunan dan bidang kesihatan.

Mereka juga terlibat sebagai penaja Liga Indera, platform untuk mencungkil bakat-bakat cilik bolasepak di Kuantan selain turut menaja pasukan Muaythai Negeri Sembilan dan Kedah.

CEO SMGB, Lee Chung Han menyifatkan kerjasama itu sebagai satu penghormatan untuk SMGB bagi menyokong visi serta matlamat Tengku Fahd menjadikan kelab ini sebagai kelab juara dan kuasa besar futsal baik di dalam negara mahupun di pentas lebih besar seperti Asia dan dunia.

“Dengan sebuah pasukan yang profesional mereka miliki dari pengurusan, kejurulatihan dan barisan pemain, saya percaya Pahang Rangers akan mampu berdiri sebagai sebuah pasukan disegani.

“Semua tahu Pahang Rangers sudah sedia berada dalam kelas mereka, tanggungjawab kami adalah membantu menyediakan latihan, membangunkan bakat dan memastikan mereka kekal sebagai sebuah pasukan yang unggul. Kami gembira untuk menjadi sebahagian daripada pasukan ini.

“Kita juga mahu membina kesedaran tentang pemeliharaan gajah melalui pasukan futsal, dan akan bekerjasama untuk program konservasi di Kuala Gandah lantas menjayakan CSR syarikat kami.”

Pahang Rangers yang diperkuatkan himpunan pemain kebangsaan muncul sebagai naib juara edisi sulung Liga Futsal dan mensasarkan untuk bergelar juara pada musim berikutnya.

Namun saingan musim 2020 terpaksa dibatalkan kerana pandemik Covid-19 manakala bagi musim 2021 saingan dijangka berlangsung sekitar Oktober ataupun November.