Liga Super Malaysia Berita

Stuart: Kita kena lebih adil, ada pasukan Liga Malaysia baru setahun jadi profesional

Stuart Ramalingam meminta semua pihak supaya bersikap lebih adil dan terbuka kepada pasukan Liga Malaysia berhubung isu pengurusan dan kewangan pasukan.

Ketika bercakap dalam sidang media buat pertama kali sebagai CEO MFL, sebelum menggalas jawatan itu secara rasmi pada 1 Sept ini, beliau berkata Liga Malaysia masih dalam proses pendidikan dan pemisahan sepenuhnya antara persatuan bola sepak dan kelab bola sepak atau FA ke FC.

“Kita kena ingat, walaupun industri bola sepak sudah lama wujud, dari segi urus tadbir secara profesional, korporat dan swasta baru memasuki tahun pertama,” kata Stuart.

“Semua kelab berdepan dengan perubahan kerajaan dan pandemik Covid-19, jadi kita perlu bersikap lebih adil.

“Tetapi mereka masih sertai liga, bermain bola sepak dan memastikan liga bola sepak berjalan setiap minggu.

“Kita kena tabik hormat mereka yang berusaha meneruskan operasi ketika pandemik, ketika ketidakstabilan kerajaan, dengan sektor korporat dan ekonomi yang tidak akan mampu untuk menyokong pemisahan FA dan FC tahun ini.”

Stuart juga mengakui cukup sukar sebenarnya untuk melengkapkan proses pemisahan FA dan FC.

“Berilah kredit kepada mereka, kelab-kelab Liga Malaysia sudah melakukan yang terbaik untuk berada di mana mereka berada ketika ini.

“Kalau ada satu perceraian besar-besaran antara FA dan FC, percayalah, separuh atau tiga suku daripada pasukan Liga Malaysia, kalau tidak kerana kestabilan dan sokongan daripada FA, mereka mungkin sudah terkubur. Jadi masih ada relevannya dan ada hikmah di sebalik situasi negatif ketika ini.”

Bagaimanapun, Stuart menegaskan majoriti pasukan Liga Malaysia tidak lagi masalah pengurusan seperti dahulu.

“Memang saya setuju masih ada masalah lama, tetapi pada masa sama kita perlu lihat bahawa pengurusan tertinggi sesetengah pasukan bola sepak sudah menunjukkan perubahan.

“Kalau dia CEO, maka dia bertugas sebagai CEO. Kalau pemilikan kelab, dia dimiliki oleh pemilik kelab. Jadi ada yang sudah tidak lagi berdepan masalah lama seperti dahulu. Banyak kelab ada masalah sebelum ini, tetapi sekarang tiada lagi.

“Memang transisi sedang berlaku, walaupun lebih perlahan daripada sepatutnya, ini disebabkan pandemik, ketidakstabilan politik dan ekonomi, jadi kita harus bersikap lebih adil kepada mereka yang menguruskan kelab dengan baik.”

Bagaimanapun, Stuart yang sebelum ini mengendalikan pemisahan FA dan FC sebagai Setiausaha Agung FAM, percaya perlesenan kelab wajar diperketatkan.

“Kita kadang-kadang cenderung meletakkan kesalahan ke atas sesetengah pihak sehingga menjadi stigma. Kalau kita teliti betul-betul masalah yang dihadapi, kita boleh lihat kenapa perkara itu terjadi.

“Adakah ini masalah penstrukturan kelab perlesenan? Saya tidak begitu pasti, tetapi saya percaya ia boleh diperketatkan dan diperkasakan.

“Salah urus tadbir tidak seharusnya dilihat sebagai kesalahan satu-satu industri itu, kadang-kadang salah urus tadbir itu disebabkan masalah individu, atau masalah transisi. Kita perlu kenal pasti secara spesifik apa masalah yang dihadapi.

“Kelab sudah menghadapi penangguhan demi penangguhan, penutupan penuh (lockdown), mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan kos yang meningkat akibat pandemik, ia adalah perkara yang luar biasa untuk liga kita tidak terkubur begitu sahaja.

“Barcelona pun perlukan wang pinjaman untuk meneruskan operasi walaupun mereka adalah jenama global dan antarabangsa.

“Dengan masalah gaji beberapa bulan di satu atau dua pasukan ketika ini tidak sepatutnya merosakkan imej industri ini secara keseluruhan, hanya kerana beberapa pihak.”

Beliau turut menyifatkan bahawa CEO di semua pasukan Liga Malaysia sudah melakukan yang terbaik untuk meneruskan operasi.

“Mereka sentiasa mencuba memikat pihak korporat dan pelabur untuk menaja mereka, ini lebih daripada apa yang isu-isu negatif yang dibawa sesetengah pihak.

“Bila ada berita keluar, ia seolah-olah industri ini bermasalah. Kalau begitu, kita perlu sentiasa meyakinkan pihak-pihak luar bahawa ia adalah masalah terpencil yang hanya berlaku di sesetengah kelab, tetapi bukan kelab yang sudah melakukan kerja yang bagus.”