Berita Kajian & Analisis

Kenali barisan bintang bolasepak India, Kuda Hitam baru dari Asia Selatan

Kejayaan skuad kebangsaan India layak ke Piala Asia 2019 adalah satu prestasi hebat tersendiri buat negara itu. Berbekalkan 1.3 bilion penduduk, mereka bukanlah sebuah pasukan yang hebat dalam bola sepak. Kali terakhir mereka beraksi di pentas Piala Asia adalah pada 2011 dan mereka juga tidak pernah ke Piala Dunia.

Bagaimanapun, harapan tetap ada untuk mereka menampilkan aksi terbaik di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada tahun depan. Ketua jurulatih mereka dari England, Stephan Constatantine, tentunya sudah mula mencongak perancangan terbaik untuk pemain-pemainnya membanggakan India. Apa yang pasti, Constatine jelas memiliki beberapa pemain utama yang boleh diharapkan untuk berdepan lawan di Piala Asia nanti.

Jika Baichung Bhutia menjadi tonggak mereka satu masa dahulu, berikut adalah senarai beberapa pemain yang kini menjadi bintang skuad kebangsaan India di pentas antarabangsa:

Gurpreet Singh Sandhu

Sandhu adalah pencetus awal bola sepak India di Eropah. Pada 2016, penjaga gol ini telah mewakili pasukan dari Norway, Stabaek, di kelayakan Liga Europa. Penampilannya itu menjadikannya sebagai pemain pertama India yang beraksi di kejohaan antara kelab di Eropah. Kini, dia kembali ke India untuk menyertai Bengaluru FC, namun pengalaman di Eropah akan digunakan sebaiknya buat negaranya pada tahun depan.

Jeje Lalpekhlua

Jeje boleh dikatakan sebagai salah seorang pemain terbaik India ketika ini. Pemain yang menduduki posisi tengah menyerang ini mengutip tujuh gol sewaktu aksi kelayakan Piala Asia 2019 yang lalu. Malah, Jeje juga pernah dua kali dinobatkan pemain terbaik India sewaktu bersama Chennaiyin FC. Berbekalkan kepantasan dan ketajaman, Jeje tentu menjadi taruhan utama Constantine di Piala Asia 2019.

Subrata Pal

Constantine tampak berdepan kesukaran di posisi penjaga gol kerana dia memiliki seorang lagi pemain berkualiti tinggi yang turut pernah beraksi di Eropah seperti Sandhu. Pal adalah pemain berusia 31 tahun yang pernah mewakili kelab Denmark, Vestsjaelland. Walaupun akhir-akhir ini Sandhu sering mendapat tempat, namun pengalamannya tentu berguna buat India.

Arnab Mondal

Untuk seorang bek tengah, susuk tubuhnya tidak begitu besar kerana hanya berketinggia 175 sentimeter tetapi Arnab Mondal melawan faktor itu dengan kecerdikannya di atas padang. Pemain berusia 28 tahun yang mewakili East Bengal ini sudah mewakili India sebanyak 25 kali dan kini bersedia menjadi teras utama Constantine di bahagian benteng.

Sandesh Jhingan

Mondal akan ditemani oleh Sandesh Jhingan di barisan pertahanan India. Berbekalkan ketinggian 188 sentimeter, tentunya dia menjadi pasangan terbaik buat Mondal. Dia juga menjadi taruhan utama India dalam situasi bola mati. Buktinya, dia telah menyumbat empat gol daripada 21 penampilan buat India.

Rowlin Borges

Satu perkara yang menarik dalam karier Borges adalah dia merupakan pemain tetap dalam pasukan kendalian Constantine tetapi tiada satu kelab dari Liga Super India yang mahukan khidmatnya ketika ini. Bagaimanapun, Constantine berpendapat pemain tengah bertahan itu adalah tonggak utama buat pasukannya. Sudah pasti Borges akan menjadi penghubung daripada bawah ke bahagian depan India di Piala Asia nanti.

Sunil Chhetri

Jika Jeje adalah salah seorang pemain terbaik India ketika ini, maka Sunil adalah yang terbaik sepanjang masa. Penyerang yang sudah menjangkau usia 33 tahun ini merupakan penjaring terbanyak India ketika peringkat kelayakan dengan lapan gol, sekaligus muncul penjaring terbanyak sepanjang masa buat India dengan 56 gol hasil daripada 93 perlawanan. Walaupun sudah berusia, Chhetri tentunya akan menjadi taruhan utama di depan gol buat India.