Malaysia Berita

Kelab La Liga, Villareal buka akademi bola sepak di Malaysia

Kelab La Liga, Villarreal CF mengumumkan secara rasmi penubuhan sebuah akademi bola sepak di negara ini yang dinamakan sebagai Akademi Villarreal Malaysia.

Berpangkalan di Kota Kemuning dan Bandar Rimbayu, akademi itu akan memberi tumpuan kepada pembangunan pemain berusia dari tiga hingga 21 tahun.

Akademi itu turut menyasarkan penyertaan lebih 400 pemain yang akan dilatih oleh lebih 20 orang jurulatih pada tahun ini.

Pemain bukan sahaja berpeluang berlatih di Villareal, tetapi juga berpeluang melawat Sepanyol untuk berlatih atau beraksi perlawanan persahabatan menentang pasukan Akademi Villareal.

Akademi itu ditubuhkan dengan kerjasama syarikat bola sepak tempatan, Football Talent Asia (FTA) yang akan menguruskan akademi tersebut namun segala pengajaran dan pembelajaran pemain adalah di bawah Akademi Villareal di Sepanyol.

“Kami menyasarkan untuk menubuhkan Akademi Villarreal Malaysia sebagai program pembangunan bola sepak terbaik di Malaysia,” kata Pengarah Akademi Villarreal Malaysia, Massimo Giannelli.

“Misi kami adalah untuk menjadi inklusif dan menawarkan program ini kepada semua orang dan menanamkan dalam diri mereka kecintaan terhadap permainan bola sepak.”

Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Villareal Malaysia dan Football Talent Asia, Jonathan Abishegam yakin akademi ini akan menyediakan peluang untuk pemain bola sepak muda di seluruh negara.

“Kami mahu membawa kejayaan Villarreal di Sepanyol dan Eropah ke Malaysia.

“Kami percaya bahawa metodologi yang akan kami pakai dan pengetahuan yang akan kami pelajari daripada Villarreal digabungkan dengan kemudahan kami dan pasukan kejurulatihan yang berpengalaman akan mewujudkan peluang untuk pemain kami merasai standard tertinggi.

“Program ini bertujuan untuk dikongsi, ia untuk orang ramai. Kami mahu memberi peluang yang sama rata kepada kanak-kanak lelaki dan perempuan dari semua latar belakang seberapa banyak yang kami boleh.

“Sama ada untuk pemain yang mencari program rekreasi yang menyeronokkan, bermain dengan rakan-rakan mereka atau bakat muda yang bercita-cita untuk bermain bola sepak di Eropah, peluang ini akan disediakan di sini di Akademi Villarreal Malaysia.”

Akademi ini bukan sahaja menawarkan peluang untuk pemain bola sepak di Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya, tetapi juga merancang untuk meluaskannya dengan membuka pusat-pusat latihan di seluruh negara.

Setakat ini, terdapat tiga program akan dijalankan oleh Akademi Villareal Malaysia.

Program Little Submarines adalah untuk peserta lelaki dan perempuan berusia 3-4 tahun manakala Junior Submarines untuk peserta berusia 5-6 tahun.

Villareal Malaysia Soccer School pula untuk peserta lelaki dan perempuan berusia 7-18 tahun, mereka akan berlatih 4 kali seminggu dan akan turut serta dalam perlawanan persahabatan, kejohanan dan liga.

Selain Soccer School, peserta juga berpeluang menyertai program Akademi yang akan memilih pemain lelaki dan perempuan yang paling berbakat berusia antara 7-18 tahun, berlatih 4-5 kali seminggu, beraksi dalam pelbagai kejohanan sama ada tempatan mahupun di peringkat antarabangsa, serta berpeluang berlatih di luar negara dan menyertai sesi percubaan dengan kelab Eropah.

Villarreal CF sudah mempunyai beberapa akademi di seluruh dunia melalui projek antarabangsa Akademi Villarreal.

Antaranya akademi rakan kongsi di Amerika Syarikat, Kanada, Mexico, Bolivia, Israel, Australia, Korea Selatan dan kini Malaysia.

Akademi Villareal secara konsisten disenaraikan sebagai antara program terbaik di Sepanyol dan pemainnya kerap membuat penampilan untuk pasukan kebangsaan Sepanyol dalam semua peringkat umur.

Untuk maklumat lanjut mengenai Akademi Villarreal Malaysia layari laman web rasmi mereka di www.villarrealmalaysia.com